Wednesday, December 1, 2010

Indonesia vs Malaysia

Safiq meluap-luap


“SAMA ada saya diturunkan atau tidak, tidak penting tapi lebih utama ialah kita perlu mencipta keputusan positif pada pertemuan pertama menentang Indonesia,” kata pemain tengah, Safiq Rahim.

Dia sedar tugas menjinakkan Indonesia bukan mudah apatah lagi mereka kini beraksi di Stadium Gelora Bung Karno - venue keramat buat skuad bimbingan ketua jurulatih, Alfred Riedl itu.

“Penyokong mereka fanatik tapi saya yakin pemain kita mampu mengetepikan semua itu. “Kami sudah berjanji memberikan aksi terbaik dan itulah yang akan kami lakukan. “Kami pasti menggandakan usaha malam esok.

“Kami mahu membuktikan Indonesia tidak kebal di halaman sendiri,” kata Safiq yang menggalas tugas selaku kapten ketika saingan Sukan Asia Guangzhou, baru-baru ini.

Setakat petang semalam, ketua jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal belum memutuskan siapakah kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan pembuka tirai menentang Indonesia, malam ini dan sikap berahsia itu turut diamal rakan sejawatnya di Indonesia, Alfred Riedl.

Yang pasti, kedua-dua pasukan dilanda krisis kecederaan walaupun jika dilihat daripada senarai akhir, Malaysia kehilangan lebih ramai pemain tonggak berbanding Indonesia.

“Kami tidak boleh jadikan ketiadaan ramai pemain tonggak sebagai alasan. “Kami perlu berjuang dengan apa yang ada dan saya yakin dengan semua 22 pemain yang dibawa kali ini.

“Saya tidak mahu mengalah lebih awal. Kami akan cuba dan lihat hasilnya. “Saya tidak mahu terlalu memikirkan masalah kerana ia boleh menjejaskan tumpuan,” kata Safiq.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Media Indonesia gasak Rajagobal


SEHARI sebelum pertembungan Malaysia-Indonesia berlangsung, media tempatan mula mengasak ketua jurulatih, K Rajagobal dengan pelbagai soalan provokasi dan semuanya berkisar kepada semangat anti-Malaysia sekali gus memaksa campur tangan pengurus Indonesia, Andi Darussalam Tabusalla.

Soalan seperti mampukah Malaysia mengetepikan sorakan penyokong fanatik Indonesia dan bagaimana Malaysia berdepan puluhan ribu penyokong Indonesia seperti diutarakan wartawan tempatan pantas ditepis Rajagobal yang lebih berminat membicarakan soal persiapan pasukannya berbanding melayan provokasi itu.

“Kami ke sini untuk menyertai pertandingan dan itulah yang kami lakukan. Saya yakin pemain sudah bersedia bertemu tuan rumah,” kata Rajagobal.

Andi Darussalam pula mencelah dengan berkata, bola sepak tidak boleh dicampur dengan masalah politik dan beliau meminta penyokong Indonesia tidak terlalu mengikut perasaan dan berdisiplin pada pertemuan di Stadium Gelora Bung Karno, jam 7 malam waktu tempatan, hari ini. “Semuanya mahu mempersembahkan permainan menarik. Justeru tidak timbul persoalan seperti yang tuan-tuan timbulkan,” kata Andi pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Sultan, petang semalam.

Rajagobal ketika diminta mengulas formasi yang diterapkan, sempat bergurau dengan mengatakan ilham mencipta formasi itu hanya datang dalam mimpinya, malam ini (semalam).

“Saya mengamalkan formasi mengikut keperluan. Ada kalanya saya memilih menggunakan formasi 4-4-2 dan ada kalanya 4-3-2-1. Ia terpulang kepada keadaan. Tunggulah malam nanti. Mungkin ilham itu datang dalam tidur saya,” seloroh Rajagobal sekali gus meredakan sedikit asakan wartawan tempatan.

Beliau sedar Indonesia tidak akan sesekali rela tewas di tangan Malaysia dan menganggap kapten Indonesia, Bambang Pamungkas bakal menjadi duri dalam daging buat anak buahnya malam esok.

“Bambang pernah dua tahun bermain di Malaysia dan mungkin dia menyalurkan maklumat mengenai kekuatan Malaysia kepada jurulatihnya tapi saya tidak bimbang dengan keadaan itu. Kami juga tahu serba sedikit mengenai kelebihan dan kekurangan Bambang. “Kami tidak memikirkan individu itu atau ini sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha mencipta peluang,” katanya.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bambang optimis


SKUAD Indonesia menaruh keyakinan tinggi pada saingan peringkat kumpulan kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 yang bakal menyingkap tirainya hari ini dan pemain paling senior, Bambang Pamungkas menyifatkan gandingan dibentuk jurulatih Alfred Riedl kali ini sangat berbeza berbanding sebelumnya.

“Paling ketara ialah atmosfera dalam pasukan. Saya dapat melihat kesungguhan serta semangat tinggi di kalangan pemain. Bagi saya, skuad ini dianggap yang terbaik.

“Gabungan pemain senior dan muda juga sangat memberangsangkan. “Saya sudah lima kali beraksi di Piala AFF dan arif perbezaan pasukan sebelum ini dengan sekarang,” kata penyerang Persija yang pernah beraksi bersama Selangor sedikit masa lalu.

Pandangan Bambang disokong rakan sepasukan, Firman Utina yang menyifatkan Riedl berjaya membawa perubahan besar kepada skuad Indonesia.

“Ada sesuatu yang positif dalam pasukan. Saya tidak tahu bagaimana menerangkannya tapi bagi saya ia sesuatu yang sepatutnya sudah berlaku sejak lama dulu. “Atas dasar inilah, saya yakin kami mampu pergi lebih jauh pada kejohanan ini,” katanya.

Sepanjang tujuh edisi Piala Suzuki AFF (dulunya dikenali sebagai Piala Tiger), Indonesia muncul naib juara dalam tiga edisi iaitu 2000, 2002 dan 2004.


Indonesia tunduk kepada Thailand dalam perlawanan akhir 2000 dan 2002 manakala pada 2004, mereka terpaksa akur dengan kehebatan skuad Singapura.

Sepanjang tujuh edisi itu, Indonesia hanya sekali gagal melepasi saingan peringkat kumpulan iaitu ketika kejohanan dwi-tahunan itu dilangsungkan di Singapura dan Thailand pada 2006.

Pengurus skuad Indonesia, Andi Darussalam Tabusalla yakin anak buahnya mampu bergelar juara pada saingan kali ini.

“Kami dilanda sedikit masalah ketika persiapan pasukan tapi kini kami menumpukan perhatian kepada perlawanan pembukaan menentang Malaysia,” katanya.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sedia bedil Indonesia


JAKARTA – Malaysia berjanji akan mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang bermula serentak di Jakarta dan Palembang, Indonesia hari ini.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagopal berkata, Malaysia tidak ada sasaran khusus pada kejohanan ini lebih-lebih lagi dengan lapan pemainnya mengalami kecederaan, termasuk kembar Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak.

Menurut Rajagobal, daripada 22 pemain Malaysia yang dibawa ke kejohanan ini, hanya enam orang daripada mereka berusia lebih 24 tahun manakala yang lainnya adalah pemain muda.

Pada aksi pertama malam ini, Malaysia akan berhadapan dengan pasukan tuan rumah, Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Rajagopal berkata, meskipun skuad bimbingannya itu mengalami kepincangan di semua posisi tetapi mereka akan berusaha untuk memberi saingan kepada pasukan tuan rumah.

“Kecederaan yang dialami beberapa pemain utama bukan halangan buat kami menyerah mudah. Kami optimis dan akan bermain bersungguh-sungguh pada aksi pembukaan ini,” katanya.

Rajagopal berkata, beliau sudah mengingatkan pemain-pemainnya agar tidak mudah hilang fokus apabila berdepan lawan mereka itu yang akan mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

“Kami perlu bersedia menghadapi segala bentuk ancaman daripada pasukan tuan rumah dan pemain telah diingatkan agar memberikan komitmen seratus peratus,” katanya.

Pada kejohanan ini, Indonesia turut diperkuatkan bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas.

“Saya yakin, pemain kita sudah memahami gaya permainan Bambang yang pernah beraksi dengan Selangor satu ketika dulu. Jadi, mereka perlu bijak menggunakan kelebihan itu untuk menyekat penyerang berbisa Indonesia itu.”

Sementara itu penolong jurulatih pasukan Indonesia, Wolfgang Pikal berkata, mereka akan turun dengan formasi 4-4-2 dan akan mengawasi sekurang-kurangnya tiga pemain Malaysia yang dianggap kunci kepada kekuatan Malaysia.

“Pergerakan penyerang Malaysia yang menggunakan jersi No. 9 (Norshahrul Idlan Talaha) sangat pantas dan kami perlu mengawasinya.”

Sumber - Kosmo

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Safiq janji kawal emosi


KUALA LUMPUR - ''Selaku ketua pasukan, saya berjanji akan cuba mengawal emosi saya pada perlawanan berdepan Indonesia dan berharap tragedi di Guangzhou, China tidak akan berulang''.

Itu azam ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim sebelum turun berjuang bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF, hari ini.

Walaupun Safiq wajar tidak dipersalahkan atas insiden kad merah ketika berdepan dengan China, pemain tengah Selangor itu mengakui ketika berdepan dengan skuad tuan rumah, pelbagai keputusan kontroversi boleh dilakukan oleh pengadil kerana berdepan tekanan penyokong.

Justeru itu, Safiq yang akan memakai lilitan kapten sekali lagi berazam akan bersikap lebih tenang jika berhadapan situasi tegang supaya tidak menjejaskan tumpuan pasukan dan perancangan taktikal jurulatih.

''Apa yang paling penting buat saya selaku ketua pasukan, saya perlu memperkuatkan mental dan tidak hilang konsentrasi supaya kami semua boleh beraksi sebagai satu unit esok (hari ini),

''Bertemu Indonesia, kami semua tahu tiada layanan istimewa akan diberikan oleh para penyokongnya kerana mereka semua sudah tentu mengenakan tekanan berganda semasa kami sedang memegang bola.

''Saya akan memberikan peringatan kepada rakan-rakan agar menumpukan taktikal permainan dan tidak menghiraukan segala cemuhan atau ejekan para penyokong Indonesia, apa yang penting adalah mengutip kemenangan pada perlawanan pertama, '' jelasnya bersemangat.

Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Sukan Asia, Safiq Rahim menjadi mangsa mutu pengadilan yang lemah oleh pengadil Australia, Ben Williams. Dia dibuang padang selepas bertanyakan pengadil mengenai pemberian kad merah kepada seorang lagi pemain, Mahalli Jasuli.

Selain itu, Safiq secara jujur mengakui motivasinya kini adalah mahu mencipta sejarah membantu Malaysia membawa pulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam sejarah penganjuran 14 tahun lalu.

''Tiada apa yang mustahil, jika tahun lalu kami semua menidakkan ramalan semua pihak dengan membawa pulang pingat emas di Sukan SEA Laos selepas 20 tahun, kali ini kami semua mahu mencipta satu lagi sejarah baru dalam arena bola sepak negara.

''Tiada tekanan buat saya dan rakan-rakan, walaupun tahu Thailand dan Indonesia merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan ini kerana kami tahu bagaimana tahap kekuatan sebenar pasukan ini mampu menewaskan kedua-dua pasukan itu.

''Sasaran pertama adalah membawa Malaysia ke separuh akhir terlebih dahulu dan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana para peminat skuad negara boleh turun memberi sokongan padu kepada kami, '' ujarnya.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Senjata sulit berdepan Malaysia


JAKARTA - Jika pasukan Malaysia yang turun sebagai underdog berharap mampu membuat kejutan, tetapi bagi Indonesia selaku tuan rumah mereka telah bersiap sedia dengan senjata sulit untuk mengejutkan Malaysia pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Senayan, hari ini.

Senjata sulit pasukan Merah Putih itu ialah dua penyerang asing yang baru diberikan kerakyatan iaitu, Cristian Gonzales kelahiran Uruguay dan Irfan Bachdim kelahiran Belanda.

Jika rata-rata peminat bola sepak Malaysia hanya mengenali Bambang Pamungkas sebagai penyerang hebat yang pernah bermain untuk pasukan Selangor, kehadiran dua penyerang berkenaan pasti memeningkan lagi benteng pertahanan Malaysia pada pertemuan babak Kumpulan A Piala AFF 2010.

Gonzales, 34, walaupun baru dua kali menyarung jersi Indonesia pada perlawanan persahabatan menentang Timor Leste dan Taiwan, tetapi telah meledakkan tiga gol.

Gonzales sendiri mengakui tidak mempunyai pengalaman menentang Malaysia, namun kelibat penyerang Kelab Persib Bandung itu memang harus diawasi oleh benteng pertahanan Malaysia.

Irfan pula yang baru berusia 22 tahun turut mempamerkan aksi memikat di dalam dua perlawanan persahabatan itu sehingga Jurulatih Indonesia, Alfred Riedl meletakkannya di dalam barisan pemain utama.

Menurut Irfan, dia sudah bersedia seratus peratus untuk bertemu Malaysia dan tidak meletakkan sasaran peribadi, tetapi akan berusaha mencapai kejayaan bagi pasukan Indonesia.

"Keadaan saya sangat baik. Tidak ada masalah sama sekali dengan persiapan saya. Saya bersedia bermain melawan Malaysia," kata Irfan.

Rasa optimis itu turut dikongsi oleh Riedl yang merupakan jurulatih dari Austria kerana pasukannya kini bermotivasi tinggi dan keadaan fizikal pemainnya juga baik.

Sementara itu, Malaysia tampil dengan barisan pemain muda hampir keseluruhannya tetap akan berusaha membuat kejutan dan memberi persembahan yang terbaik.

Jurulatih Malaysia, K. Rajagobal menyatakan walaupun tanpa enam tonggak utama, beliau tidak akan memilih untuk bermain secara bertahan, tetapi akan tetap menggempur benteng lawan bagi menjaringkan gol.

"Mustahil jika mahu bermain dengan bertahan selama 90 minit, permainan bola yang baik adalah menyerang dan pada masa sama turut memastikan benteng sendiri tidak bolos," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap para pemain muda dapat 'memekakkan' telinga dengan sorakan penonton tuan rumah yang terkenal sangat hebat dan sebaliknya memberi tumpuan kepada strategi serta arahan yang diberikannya. - Utusan.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sabre ikrar sekat Indonesia


SEPANG - Jika dinilai setiap bahagian di dalam skuad bola sepak negara yang akan memulakan aksi bola sepak Piala Suzuki AFF hari ini, posisi pertahanan mungkin mencetuskan sedikit kebimbangan kerana ramai tonggak utama mengalami kecederaan.

Ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak, Norhafiz Zamani Misbah, Azmi Muslim dan Mohd. Nasriq Baharom yang sebelum ini dijangka menjadi tulang belakang negara di bahagian pertahanan terlepas peluang ke Jakarta gara-gara kecederaan.

Tanpa khidmat empat pemain itu, tanggungjawab mengawal kubu negara kini dilihat terarah kepada anak jati Parit Buntar, Perak iaitu Mohd. Sabre Mat Abu yang dijangka akan menjadi pilihan utama K. Rajagobal untuk beraksi di posisi pertahanan tengah.

Berdasarkan kekuatan fizikal yang ada pada pemain bertubuh sasa itu, dia dilihat antara muka berpengalaman di dalam skuad kebangsaan dan merupakan salah seorang tonggak utama ketika Malaysia memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009.

''Mungkin jika dilihat senarai pemain yang ada, saya dan Asraruddin Putra Omar antara orang lama yang tinggal selepas ketiadaan Aidil serta Nasriq.

''Namun, itu tidak memberikan tekanan kepada saya jika diturunkan kerana yakin dengan pengalaman sedia ada, saya mampu berjuang sebaik mungkin kepada negara.

''Malah, tahap kecergasan saya juga semakin meningkat kerana kecederaan di bahagian tisu perut telah sembuh sepenuhnya sebulan yang lepas, '' kata Sabre.

Selain Sabre, Khairul Helmi Johari, Mohd. Razman Roslan, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Mohd Faizal Muhammad mencukupkan senarai pemain di posisi pertahanan.

Ditanya mengenai kemampuan Malaysia untuk menang pada pertemuan hari ini, Sabre yang juga merupakan tonggak Kedah menyifatkan peluang adalah 50-50 dan bagi merealisasikan harapan tersebut, dia dan rakan-rakan di pertahanan perlu merantai pergerakan awang import dari Uruguay, Cristian Gonzales dan penyerang veteran, Bambang Pamungkas.

''Saya dan rakan sepasukan ada melihat rakaman video aksi membabitkan Gonzales dan kami mendapat sedikit panduan bagaimana untuk mengekang dia nanti daripada bermaharajalela di hadapan pintu gol.

''Jika kami berjaya menutup ruang kepada barisan serangan Indonesia, peluang Malaysia meraih tiga mata amat cerah tambahan saya anggap perlawanan pertama ini umpama hidup mati skuad negara kita untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF,'' jelas Sabre.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Norshahrul jadi sandaran Rajagobal

Hadapi tuan rumah pembukaan Piala Suzuki

TIADA rasa gentar buat anak buah K Rajagobal apabila bakal berdepan dengan kemungkinan provokasi lebih 100,000 penyokong Indonesia di gelanggang keramatnya Gelora Bung Karno dengan misi membuka kempen Kumpulan A Piala AFF dengan langkah kanan, di Jakarta hari ini.

Dengan keselamatan pada tahap tertinggi pertembungan dua musuh tradisi Asia Tenggara itu, Gelora Bung Karno tidak menyimpan banyak kenangan manis buat skuad negara, tetapi sejarah membuktikan kekebalan Merah Putih pernah ditembusi di sana.

Mengimbau enam tahun lalu, Malaysia menamatkan kemarau 25 tahun kemenangan di ibu kota Indonesia itu dalam kejohanan ini tetapi kemudian dipalit kekecewaan ekoran kekalahan besar barisan bimbingan Bertalan Bicskei pada perlawanan kedua di Stadium Nasional untuk meranapkan impian ke final.

Kali ini, Malaysia tidak begitu optimis akan peluang mara jauh melihatkan senarai kecederaan panjang melanda Rajagobal yang mengenepikan khidmat beberapa tonggak utama di semua posisi.

Ketiadaan kapten, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani, S Chanturu yang cedera ketika menggalas cabaran di Sukan Asia Guangzhou memeningkan Rajagobal yang sebelum itu kehilangan kembar Abd Radzak, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim.

Tanpa Zaquan, tanggungjawab untuk menembusi pertahanan Indonesia terletak di bahu Norshahrul Idlan Talaha yang besar kemungkinan digandingkan dengan Safee Sali selain kepulangan Amri Yahyah mampu menyuntik semangat rakan sepasukan.

Sumber - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...