Tuesday, November 30, 2010

Akmal Rizal ke Perak

Akmal Rizal ubah angin


KESERASIAN hubungan dengan ketua jurulatih, Norizan Bakar adalah antara faktor mendorong Akmal Rizal Mohd Rakhli datang ke Perak bagi menyarung jersi pasukan Seladang dalam kempen Liga M musim 2011 nanti.

“Saya sudah lama mengenali Cikgu (Jan) serta biasa berada di bawah kendaliannya. Ia antara penyebab mengapa saya datang ke Perak,” kata pemain itu mengenai tindakannya menyertai Perak musim depan selepas majlis memperkenalkan pemain skuad Liga Super Perak di Ipoh, semalam.

Justeru, Akmal yang musim lalu menyarung jersi Kelantan bertekad membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dengan membantu pasukan Kejor Yob Kejor itu menggapai impian berada dalam kelompok lima pasukan teratas.

“Ia satu cabaran kepada saya serta pemain lain. Apapun saya yakin dengan garapan serta adunan tenaga pemain dalam pasukan yang akan digemblengkan oleh jurulatih nanti ia mampu direalisasikan,” katanya.

Akmal, 29, yang berasal dari Jitra, Kedah adalah antara beberapa pemain berpengalaman termasuk Khairi Zainuddin, Shahrul Nizam Mustapa, Chan Wing Hoong, Harizul Izuan Abdul Rani, Nasril Nourdin, Shafiq Jamal dan Muhammad Syahman Zainuddin yang berada dalam senarai untuk didaftarkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Presiden Pafa, Datuk Zainol Padzi Paharuddin memberitahu Perak masih memburu seorang pemain bertaraf bintang bagi melengkapkan keperluan pasukan tetapi enggan menyatakan identiti pemain terbabit.

“Kami masih punya kekosongan dalam pasukan dan sedang berusaha mendapatkan khidmat seorang atau dua lagi pemain. Apa yang pasti kita akan mendapatkan khidmat seorang bintang lagi.

“Namun, segalanya bergantung kepada kemampuan Pafa kerana kami juga turut mempunyai tanggungjawab dan komitmen kewangan lain,” katanya selepas majlis pelancaran jersi baru, pas bermusim, menandatangani persefahaman (MOU) dengan penaja Specs dan memperkenalkan pemain di Kompleks Belia dan Sukan Ipoh, semalam.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menjelaskan isu kapten musim lalu, K Nanthakumar sudah selesai dan pemain tengah itu bersetuju untuk menyertai pasukan Seladang.

Mengenai pas bermusim yang baru diperkenalkan, Zainol berkata sebagai permulaan Pafa hanya akan mengeluarkan 1,000 pas untuk tempat duduk terbuka yang bernilai RM100 dan 200 untuk tempat duduk utama bernilai RM150.

Katanya, pas ini boleh digunakan untuk menyaksikan semua perlawanan liga M sepanjang musim dengan pembawa kad dijamin tempat duduk khas semasa perlawanan.

Sementara itu, harga tiket untuk menyaksikan perlawanan di Stadium Perak musim depan ialah RM10 untuk teres terbuka dan RM20 (grand stand).

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

 Akmal Rizal Sertai Perak Untuk Bersama Cikgu Jan



AKMAL Rizal Ahmad Rakhli yang baru menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan, berkata keputusannya menyertai Perak bagi musim 2011 adalah untuk kembali bersama bekas jurulatihnya, Norizan Bakar.

“Saya berpengalaman di bawah latihan Cikgu Jan (Norizan) sejak berumur 14 tahun dan keserasian yang ada membolehkan saya mendapat pelbagai pendedahan bersama pasukan Perak kelak,” katanya di Ipoh, semalam pada majlis pelancaran jersi baru skuad Seladang yang bakal menggunakan jenama Specs.

Akmal Rizal berkata barisan pemain muda dimiliki Perak juga mampu bermain lebih cemerlang bawah tunjuk ajar Cikgu Jan.

Norizan pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan dari November 2005 sehingga Julai 2007 selepas tamat kontrak Bertalan Bicskei.

Mengenai jersi baru itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Padzi Paharuddin berkata jersi Specs akan digunakan untuk kejohanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2011.

PAFA turut melancarkan dua jenis tiket bermusim bernilai RM100 bagi tempat duduk tidak berbumbung dan RM150 bagi tempat duduk berbumbung.

Sumber - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...