Tuesday, November 16, 2010

Malaysia 1-3 Iran

Malaysia akur kehebatan Iran 

SEPERTI dijangka, pasukan bola sepak negara tewas mudah 1-3 kepada pasukan Iran pada perlawanan pusingan kedua, semalam.

Biarpun tewas, pujian sebenarnya harus diberikan kepada skuad kendalian K Rajagobal yang berjaya mengelakkan dari menerima kekalahan yang lebih besar.

Bermain tanpa kekuatan sebenar dengan dihimpit masalah kecederaan dan pergantungan, Malaysia jelas kerap bertahan membuatkan Iran mendapat jaringan menerusi, Karim Ansari Fard, Seyed Hosseine dan Amir Sharafi.

Sementara itu, Malaysia memperoleh gol saguhati melalui Norshahrul Idlan Talaha.

Skuad bola sepak negara menamatkan kempen Sukan Asia dengan satu kemenangan dan tiga kekalahan sepanjang kejohanan berlangsung.

Sumber - Sinar Harian

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Tewas dengan megah


SKUAD bola sepak negara menutup tirai saingan Sukan Asia Guangzhou dengan persembahan membanggakan biarpun tewas 1-3 kepada Iran pada pusingan kedua di Stadium Yuexiu, semalam.

Tampil dengan pelbagai masalah, jurulatih K Rajagobal yang hanya mempunyai 15 pemain, itupun ada yang belum cergas sepenuhnya menampilkan sikap tidak gentar berdepan gergasi Asia serta pemenang pingat emas Sukan Asia Busan itu.

Mereka membentuk perisai kebal yang berjaya menghalang Iran daripada mencipta jaringan pada babak pertama.

Namun, sebaik Karim Ansari menjaringkan gol pertama minit ke-53, ia seakan membuka jalan mudah bagi Iran mencipta dua gol lagi, iaitu gol sendiri penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (59) dan Amir Sharafi (67).

“Jika saya memiliki barisan pemain utama yang ditinggal di tanah air kerana kecederaan, saya boleh katakan kita tidak perlu gentar dengan Iran, China atau Jepun.

“Kelebihan bola sepak mereka hanyalah pengalaman dan kematangan pemainnya. Dari segi teknikal, saya rasa kita seimbang,” tegas Rajagobal.

Untuk itu beliau mahu pemainnya meninggalkan Sukan Asia ke-16 ini dengan rasa bangga kerana mereka meninggalkan isyarat bola sepak Malaysia menuju era kebangkitan antarabangsa.

Kenyataan Rajagobal itu turut diakui rakan sejawatan dari Iran, Gholamhossein Peyravani yang kagum dengan persembahan pasukan Malaysia.

“Mereka bukan saja bermain ‘one touch football’ tapi bergerak sebagai satu unit untuk menyulitkan kami pada separuh masa pertama.

“Sekalipun kehilangan tiga pemain utama kerana penggantungan kad merah serta masalah kecederaan, mereka tetap tampil mencabar tanpa menunjukkan mereka sebenarnya bermasalah.

“Bagaimanapun, sebaik melepaskan satu gol, tugas kami menjadi mudah. Kami hormati pasukan ini dan semangat melawan mereka. Saya percaya sudah sampai masanya pasukan lain memikirkan ancaman baru dari Malaysia sedikit masa lagi,” tegasnya.

Gol tunggal negara dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha hasil sepakan penalti empat minit sebelum perlawanan tamat menyaksikan Iran berdepan Oman pada suku akhir.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Iran, Rajagobal tegas menyatakan andai beliau memiliki Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani, Safiq Rahim, S Kunanlan dan Mahalli Jusuli, Malaysia berupaya ke suku akhir.

“Agak menyedihkan kerana sebenarnya kita boleh cipta sejarah sekali lagi di sini. Namun saya akur dengan keputusan ini dan takdir yang menimpa kita sejak di awal persiapan pasukan lagi.

“Kita akan tampil lebih berwibawa lagi pada kejohanan lain,” katanya yang menghadapi cabaran Piala AFF pula bulan depan.

Sumber - Harian Metro

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya anggap suatu kejayaan - Rajagobal




SKUAD bola sepak kebangsaan terkandas pada pusingan kedua apabila tewas 1-3 kepada Iran di Stadium Yuexiu, Guangzhou petang semalam.

Namun jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tetap menganggap kempen kali ini berjaya memandangkan skuad kendaliannya itu tidak habis-habis dilanda masalah kece- deraan dan penggantungan pemain.

"Secara keseluruhan, ini suatu kejohanan yang berjaya buat sku- ad kebangsaan.Apa yang penting, kita kini mula dihormati oleh semua pasukan kuat di rantau Asia ini.Tetapi saya meminta maaf kepada seluruh peminat bola sepak negara kerana gagal memberi yang lebih baik daripada ini.Saya berharap semua rakyat Malaysia faham situasi yang kami hadapi," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Malaysia berjaya mengikat Iran tanpa jaringan pada separuh masa pertama hasil kecekapan penjaga gol berusia 21 tahun dari Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Fahmi berjaya menyelamatkan lima percubaan berbahaya Iran menerusi Arash Afshin (10, 20, 31), sepakan Masoud Ebrahimzadeh (23) dan rembatan kencang Ehsan Safi pada minit ke-41.

Namun, gawang Malaysia bocor juga pada minit ke-52 apabila Karim Ansari Fard merembat masuk gol pertama Iran disusuli jaringan kedua hasil tandukan Seyed Hos- seini enam minit kemudian.

Iran terus selesa apabila Amir Sharafi merembat masuk dari luar kotak penalti untuk gol ketiga pada minit ke-66 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol sagu hati Malaysia menerusi sepakan penalti minit ke-85.

"Kita telah melepaskan dua gol mudah. Ia menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar.Apa pun saya tetap beri kredit dan memuji semangat pemain muda kita yang tidak jemu-jemu memberi cabaran.Jika kita dapat turunkan lima pemain utama, saya rasa mungkin Malaysia mampu mencipta sejarah mara ke suku akhir," jelas Rajagobal.

Dua pemain negara, Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani mengalami kecederaan serius ketika Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada aksi sulung 8 November lalu.

Tiga lagi pemain, Safiq Rahim, S. Kunanlan dan Mahali Jasuli pula digantung satu perlawanan setelah dilayangkan kad merah oleh pengadil kontroversi dari Australia, Ben Williams ketika pasukan negara tewas 0-3 kepada tuan rumah, China, Sabtu lalu.

Kali terakhir Malaysia berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan adalah 32 tahun lalu ketika Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.

Sumber - Kosmo

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Bola tewas, Malaysia tumpu Piala AFF Suzuki

  

GUANGZHOU - Malaysia menamatkan saingan bola sepak Sukan Asia selepas kecundang 1-3 kepada Iran dalam pusingan kedua, semalam selepas ditimpa masalah kecederaan yang melibatkan ramai tonggak utama dan penggantungan pemain sepanjang aksi dalam temasya ini.


Selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan, skuad negara tumbang 0-2 kepada Jepun dan 0-3 kepada China untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.

Apa pun, jurulatih K. Rajagobal menganggap kempen pada Sukan Asia XVI sebagai berjaya.

"Secara keseluruhan, ini satu kejohanan yang berjaya buat skuad kebangsaan. Apa yang penting, kita kini mula dihormati oleh semua pasukan kuat di rantau Asia ini.

Malaysia berjaya mengikat Iran tanpa jaringan pada separuh masa pertama berikutan aksi cemerlang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Namun, gawang Malaysia yang menerima asakan bertali arus jentera serangan Iran tidak dapat bertahan lama apabila Karim Ansari Fard merembat gol pertama pasukannya pada minit ke-52.

Suasana kelam kabut jelas mempengaruhi benteng Malaysia dengan hantaran yang tidak kemas dan mudah kehilangan kawalan bola menyebabkan Iran mengambil kesempatan kecelaruan kesebelasan negara untuk menguatkan kedudukannya menerusi tandukan Seyed Hosseini enam minit selepas itu.

Iran yang juga juara bertahan, semakin selesa mendahului apabila Amir Sharafi merembat masuk dari luar kotak penalti pada minit ke-66 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol sagu hati Malaysia menerusi sepakan penalti minit ke-85.

Dalam pada itu, skuad negara yang tempang sepanjang kempen Sukan Asia XVI bakal diperkuat dengan 10 pemain tambahan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia bermula 1 Disember ini.
Mereka adalah Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Nasriq Baharom, Azmi Muslim, Halim Zainal, Khairul Helmi Johari serta dua penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias.

Rajagobal berkata, skuad negara yang akan pulang ke tanah air hari ini atau esok dijangka mengadakan latihan pusat pada Isnin.

"Inilah pemain yang telah saya daftar. Tetapi kita tidak akan dapat menggunakan khidmat Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani yang cedera panjang. Cuma saya harap pemain yang tidak dibawa ke Sukan Asia akibat kecederaan seperti Baddrol, Sabre, Nasriq, Azmi dan Sharbinee sudah kembali pulih untuk ke Piala AFF Suzuki. - Utusan

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------

 Episod berakhir

SKUAD bola sepak negara mengakhiri cabaran di Sukan Asia apabila tewas 3-1 kepada Iran dalam saingan pusingan kedua di Stadium Yuexiu semalam.

Tanpa pemain cergas hingga terpaksa menyenaraikan pemain cedera dalam senarai pemain simpanan, ia sudah cukup untuk menceritakan masalah yang melanda dalam skuad K Rajagobal untuk menghadapi gergasi Asia itu. 
 
Hanya Norshahrul Idlan Talaha menjadi pemain melebihi usia 23 tahun dan bergerak sendirian di bahagian depan tetapi benteng muda yang diterajui Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadli Mohd Shas, Asraruddin Putra Omar dan Mohd Faizal Abu Bakar yang terpaksa bekerja keras menahan asakan bertalu-talu Iran.
"Saya tabik pemain muda ini kerana sudah memberikan yang terbaik untuk cuba menyaingi Iran tetapi bukan mudah kerana Iran cukup berkesan di bahagian sayap.

"Saya tidak terlalu kecewa kerana kita tewas disebabkan situasi yang melanda pasukan ini tetapi yang menggembirakan ialah pemain mendapat banyak perkara positif di sepanjang Sukan Asia ini," kata Rajagobal ketika merumuskan kekalahan itu.

Anak buah Rajagobal mampu bertahan sehingga separuh masa pertama sebelum Iran, akhirnya merobek gawang negara pada babak kedua melalui rembatan leret Karim Ansari Fard pada minit ke-52, tandukan Syed Hosseine (m-58) dan sepakan kencang Amir Sharafi (m-67).

Sepakan penalti ketua pasukan, Norshahrul menjadi pengubat duka buat rakan-rakan pada minit ke-84.

Sumber - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...