Friday, November 12, 2010

Malaysia lwn China (Berita)

Rajagobal pening


BARISAN K Rajagobal hanya selangkah untuk menamatkan penantian 32 tahun Malaysia layak ke pusingan kedua Sukan Asia dan detik itu bermula di Stadium Tianhe, malam ini.

Malaysia hanya memerlukan seri untuk muncul naib juara Kumpulan A bagi layak secara automatik ke pusingan itu.

Namun, ia bukan mudah seperti A, B, C. Malaysia berdepan tugas berat menentang pasukan tuan rumah, China yang hanya mahukan kemenangan mutlak.

Keputusan seri tidak ada dalam kamus mereka kerana jika ia berlaku, maruah selaku negara yang layak beraksi di pentas Piala Dunia 2002 akan tercemar.

Jika tewas sekalipun, skuad negara masih berpeluang layak selaku empat pasukan terbaik tempat ketiga. Ia bergantung kepada perlawanan Kumpulan C antara Jordan dan Palestin.

Kali terakhir Malaysia melangkah ke pusingan kedua adalah pada Sukan Asia 1978 Bangkok. Namun skuad negara dibelasah China 7-1. Edisi selepas itu semuanya terkandas awal, malah pada Sukan Asia Bangkok 1998, FAM tidak langsung menghantar pasukan kerana ketika itu skuad kebangsaan digantung penyertaan antarabangsa dua tahun ekoran kekalahan memalukan di Sukan Sea Jakarta 1997.

Namun, ketika persiapan menghadapi perlawanan itu, Rajagobal berada dalam dilema dalam menyusun kesebelasan utamanya. Menurut beliau, pemain gantian seperti Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Izzaq Faris dan Faizal Abu Bakar berjaya memberikan aksi meyakinkan.

“Ini masalah saya sekarang siapa perlu diturunkan dalam kesebelasan utama. S Chanthuru dan Khairul Idlan cergas untuk diturunkan.

“Saya perlu menyusun strategi bijak kerana ini adalah perlawanan penting untuk pasukan. Barisan ini nanti akan menterjemahkannya di atas padang dan saya harap apa yang dirancang menjadi,” katanya.

Pada sesi latihan semalam, Rajagobal mempelbagaikan formasinya dengan adakalanya meletakkan satu penyerang tunggal, merubah posisi Chanthuru, Khairul Idlan dan Faizal.

Congakan strategi adalah masalahnya namun Rajagobal mahu pemain supaya tidak terlalu bimbang, tenang dan bersikap positif.

“Apapun keputusannya kelak, mereka telah bermain dengan baik, malah melangkaui jangkaan. Bukan mudah dalam kumpulan maut itu dengan kehadiran Jepun, China dan Kyrgyzstan.

“Tiada apa perlu dikesalkan. Bagi saya mereka wajar mendapat pujian. Daripada pemain simpanan, ada antara mereka kini menjadi tonggak utama.

“Untuk itu saya harap mereka terus fokus dan pamerkan aksi konsisten seperti yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya.

Jauh di hati Rajagobal, beliau mengakui barisannya juga mempunyai harapan, sama seperti China namun tidak mahu terlalu menekan pemain kerana bimbang ia bakal menambah tekanan.

“Permintaan saya kepada mereka supaya sentiasa ceria di atas padang, garang bila bersaing dan pantas jika mendapat peluang di depan gawang lawan,” katanya.

Sumber - Harian Metro
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Muslim perlu tenang kekang asakan China


KETENANGAN penting bagi Mohamad Muslim Ahmad yang kini memikul tugas utama mengemudi benteng paling akhir skuad negara.

Ujian pertama ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Jepun berjaya diharunginya selepas ketiadaan kapten Norhafiz Zamani Misbah yang diketepikan kerana kecederaan.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu berjaya membentuk benteng kebal bersama Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar menghalang rempuhan penyerang Jepun.

Hari ini mereka mempunyai satu tugas berat lagi berdepan tuan rumah China pada perlawanan terakhir Kumpulan A sekiranya mahu mengiringi Jepun ke pusingan kedua.

Kedua-dua pasukan berpeluang layak secara automatik tanpa perlu menunggu penentuan empat pasukan terbaik tangga ketiga daripada enam kumpulan.

Namun China dilihat pilihan utama berdasarkan peningkatan semula pasukan itu hasil kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan selepas dikejutkan Jepun 0-3 pada perlawanan pertama.

Malaysia yang tempang tanpa 10 pemain utama, kehilangan Norhafiz dan Fakri Saarani pada perlawanan pertama, lebih kepada pengacau dua pasukan itu. Keupayaan Malaysia sebenarnya masih jauh untuk mencabar.

Biar apapun tanggapan ke atas skuad negara, Muslim tegas mengatakan mereka sudah bersedia fizikal dan mental menghadapi cabaran tuan rumah.

“Sekalipun Stadium Tianhe penuh dengan penyokong mereka, kami tidak sekali-kali gentar. Kami sudah berada di kesempatan untuk layak ke pusingan kedua, mengapa perlu dipersia-siakan.

“Malah semangat rakan sepasukan semakin berkobar untuk memberi tentangan hebat bagi menidakkan cabaran China. Terus terang saya rasakan kita juga berpeluang layak ke pusingan kedua,” katanya.

Muslim juga tidak bimbang dengan gandingan tiga lagi rakan bentengnya kerana mereka semua anggota skuad Harimau Muda.

“Malah saya sudah biasa bergandingan dengan Fadhli di posisi bek tengah. Saya harap kerjasama berpasukan dikekalkan kelak dan berharap kesilapan mudah tidak lagi berlaku. Dua gol mudah Jepun sebenarnya hasil kesilapan benteng,” katanya.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Peluang lakar sejarah



SKUAD bola sepak kebangsaan berdepan perlawanan penting menentang tuan rumah, China bagi aksi terakhir saingan Kumpulan A di Stadium Tianhe, Guangzhou malam ini.


Seandainya menang atau seri, Malaysia akan layak ke pusingan kedua (pertama kali selepas 32 tahun), selaku naib juara kumpulan untuk berkemungkinan bertemu Korea Selatan atau Korea Utara pada Isnin ini.

Namun jika tewas kepada China, skuad negara perlu mengharapkan Palestin dan Jordan masing-masing tewas kepada Korea Selatan dan Korea Utara pada aksi terakhir Kumpulan C malam ini.

Ia bagi membolehkan Malaysia layak selaku empat pasukan tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan setelah pasukan tempat ketiga Kumpulan F, Maldives tersingkir apabila hanya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan kelmarin.

Jika Malaysia layak menerusi slot tersebut, lawan mereka pada pusingan kedua Isnin ini berkemungkinan besar adalah Iran.

Namun jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal lebih mahu memberi fokus terhadap perlawanan menentang China malam ini untuk memastikan Malaysia layak terlebih dahulu ke pusingan kedua.

"Saya mahu semua pemain mempamerkan persembahan terbaik. Saya nak mereka semua ambil kesempatan di mana kelemahan China dan berhati-hati juga dengan kekuatan dimiliki China.

"Cuma saya minta para pemain cepat menyerap tekanan kerana China beraksi di depan penyokong sendiri dan mereka juga perlukan kemenangan. Pasti China akan bermain habis-habisan," kata Rajagobal kepada Kosmo! semalam.

Skuad kebangsaan menjalani latihan terakhir di Stadium Huagong pagi semalam dengan pemain sayap, S. Chanturu yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Kyrgyzstan 2-1 Isnin lalu kembali menjalani latihan penuh.

Rajagobal dijangka terus menggandingkan Norshahrul Idlan Talaha dengan penyerang muda berusia 20 tahun, Izzaq Faris Ramlan biarpun mereka buntu mencari jaringan ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Jepun, Rabu lalu.

Norshahrul, 24, yang menjaringkan satu gol ketika bertemu Kyrgyzstan berkata: "Memang sebagai seorang penyerang saya mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan.

"Saya berjanji akan memberi persembahan terbaik untuk menang."

Sumber - Kosmo

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Seri sudah mencukupi



GUANGZHOU - Janganlah buat perbandingan antara Jepun dan China kerana ini bukan cara K. Rajagobal membuat percaturan persiapan anak-anak buahnya berdepan tuan rumah dalam meneruskan kelangsungan saingan Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI, hari ini.


Jika menang menentang China hari in, ia satu kemenangan semangat, seri pun sudah memadai buat skuad kita menempah saingan kalah mati, kecuali tewas ia akan menjadi cerita lain.

Bagi Rajagobal, beliau mahu pemain-pemain bimbingannya turun bermain dalam keadaan tidak tertekan, walaupun terpaksa melakukan satu atau dua rombakan sahaja berdepan China hari ini.

''Persiapan macam biasa. Saya akan lihat (rombakan). Kalau buat pun melibatkan satu atau dua pemain sahaja. Saya mahu mereka (pemain) turun dan pergi bermain," katanya apabila ditanya tentang persiapan skuad negara berdepan tuan rumah di Stadium Tianhe, hari ini.

Skuad negara memerlukan kemenangan atau seri pada perlawanan ini, kerana ia akan menjamin tempat dalam saingan seterusnya dalam acara bola sepak Sukan Asia, selepas mencatat masing-masing satu kemenangan dan kekalahan menentang Krygystan dan Jepun sebelum ini.

Malaysia menang 2-1 dalam pembukaan menentang Kyrgyzstan, sebelum tewas kepada Jepun 0-2 pada perlawanan berikutnya, sementara China tewas 0-3 kepada Jepun sebelum bangkit dengan satu kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan. Pendek kata rekod pencapaian Malaysia dan China hampir sama, walaupun perbandingan itu tidak boleh dijadikan asas pertemuan hari ini.

Malaysia kini menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A, tiga mata berkongsi dengan China, yang berada di tempat ketiga berdasarkan gol bolos, sementara Jepun teguh menerajui kumpulan dengan enam mata dan telah pun layak ke pusingan seterusnya.

Skuad negara yang sebelum ini kehilangan beberapa pemain utama sebelum bertandang ke Guangzhou gara-gara kecederaan, dijangka berdepan tugas berat selepas satu atau dua pemain yang menggalas kesebelasan utama menentang Jepun, Rabu lalu dikatakan tidak dapat diturunkan.

Menentang Jepun tempoh hari, pemain Malaysia ternyata jauh ketinggalan berbanding gaya persembahan skuad Bawah 21 lawan yang lebih kemas dan tersusun formasinya.

Skuad negara bagaimanapun memberi tentangan pada babak pertama dengan sekali sekala membalas serangan yang menggugat kubu Jepun, namun masih gagal membolos gawang The Blue Samurai sehingga ke wisel penamat.

Namun, pujian seharusnya diberikan kepada kesebelasan skuad Malaysia yang bermain menentang Jepun tempoh hari yang tidak mudah patah semangat, sebaliknya bermain bermati-matian menahan asakan pantas Jepun yang datang bertali arus. - Utusan

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Izzaq belum puas sekali


KECEDERAAN Ahmad Fakri Saarani memberi ruang buat penyerang Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan berada dalam kesebelasan utama skuad negara.

Aksi diperagakan selepas masuk menggantikan S Chanturu ketika Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A meyakinkan jurulatih K Rajagobal menyenaraikannya menghadapi Jepun, kelmarin.

Biarpun tewas 0-2, skuad negara memberikan tentangan terpuji dan Izzaq hampir saja menyamakan kedudukan ketika Jepun mendahului 1-0 apabila tandukan kencangnya berjaya ditepis penjaga gol.

Namun bagi satu-satunya pemain tinggi lampai dengan ketinggian 1.83m, dia mengakui belum puas beraksi pada perlawanan antarabangsa pertamanya.

“Sekalipun berasa gugup, gementar dan teragak-agak mendapat bola, saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya.

“Ternyata pengalaman beraksi dalam Liga Slovakia tahun lalu belum cukup menjadikan saya kental berdepan aksi setinggi ini.

“Saya perlukan lebih banyak perlawanan sebegini untuk mematangkan permainan, menambah pengalaman serta menguatkan keyakinan bila dalam kotak penalti lawan,” katanya.

Berdasarkan persembahan majoriti pemain skuad Harimau Muda, beraksi dalam Liga Slovakia sebenarnya tidak banyak meningkatkan kualiti mereka.

Jelas mereka kadang kala hilang punca dan lambat membaca gerakan lawan selain kurang menunjukkan kreativiti permainan.

Program latihan ke Eropah Timur itu seharusnya dikaji semula kerana beraksi dalam liga itu hanyalah sekadar latihan persahabatan, tidak kompetitif dan tiada cabaran. Yang mereka peroleh hanyalah beraksi dalam musim sejuk dan peluang melawat Eropah.

Mereka seharusnya didedahkan kepada lebih banyak kejohanan dan bukan latihan. Dalam usia 20-an, jika dibandingkan dengan pemain muda Jepun, mereka bagaikan budak sekolah menentang pemain kelab.

Patutnya mereka sudah memiliki kematangan. Izzaq yang mengembalikan nostalgia bekas penyerang negara, James Wong berkata, aksi dalam dua perlawanan awal menjadikan dia lebih yakin jika diturunkan menghadapi perlawanan penentuan dengan China, esok.

Malaysia dan China perlukan kemenangan mutlak untuk layak automatik ke pusingan kedua bagi mengelak perebutan empat slot terakhir selaku pasukan ketiga setiap kumpulan.

“Saya sudah sedia begitu juga rakan sepasukan. Mental dan fokus kami tetap kuat dan saya boleh katakan kita tidak akan benarkan China menguasai permainan sekalipun mereka mendapat sokongan padu penyokong tempatan,” katanya.

Sumber - Harian Metro

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Malaysia hanya buru satu mata 


PENYERANG negara, Norshahrul Idlan Talaha (belakang) bersaing dengan pemain Jepun, Yuki Saneto pada aksi di Stadium Huadu, Guangzhou kelmarin.


SKUAD bola sepak negara makin hampir menamatkan kemarau 32 tahun bagi melepasi saingan peringkat kumpulan temasya Sukan Asia. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan ialah pada Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.

Kini barisan pemain negara hanya perlu sekurang-kurangnya seri ketika menentang China pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A Sukan Asia Ke-16 di Stadium Tianhe malam esok.

Seandainya seri, skuad kendalian K. Rajagobal itu akan muncul naib juara di belakang gergasi Asia, Jepun.

Namun jika tewas sekalipun, Malaysia masih mempunyai bekalan tiga mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada aksi pembukaan untuk layak ke pusingan kedua selaku empat pasukan di tempat ketiga terbaik di kalangan enam kumpulan.

Pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berkata, pencapaian anak-anak buah Rajagobal setakat ini wajar dipuji biarpun mereka tewas 0-2 kepada Jepun kelmarin.

"Saya tetap bangga walaupun kita tewas kepada Jepun kerana beberapa pemain kita yang beraksi semalam (kelmarin) ada di antaranya baru berusia 18, 19 dan 20 tahun.

"Tetapi mereka telah membuktikan bahawa kita masih mampu untuk menyaingi pasukan gergasi seperti Jepun.

"Saya juga yakin kita sekali lagi mampu beraksi baik untuk menewaskan China (esok).

"Lagipun sudah lama kita tidak mencapai keputusan membanggakan setelah kali terakhir kita berjaya melepasi peringkat kumpulan 32 tahun yang lalu," kata Subahan ketika ditemui pada sesi latihan di Shiqiao No. 2 Mid- dle School semalam.

Malaysia pernah dua kali memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 dan 1974 tetapi selepas temasya 1978, skuad bola sepak negara sering terkandas pada saingan peringkat kumpulan.

Sementara itu, Rajagobal turut melaungkan keyakinan bahawa anak-anak buahnya mampu mencatat keputusan seri atau menwaskan China malam esok.

"Saya mahu para pemain turun beraksi dengan penuh yakin dan bersemangat tinggi sama seperti dua perlawanan sebelum ini biarpun China bakal mendapat sokongan puluhan ribu penyokong di stadium.

"Saya juga sudah mengingatkan pemain, biarpun kita kini tanpa beberapa tonggak yang cedera, mereka yang ada ini perlu mempersiapkan diri masing-masing bagi menghadapi perlawanan itu.

"Jangan terlalu takut dengan China kerana mereka juga menghadapi tekanan kerana perlu menewaskan kita untuk layak, sedangkan kita hanya perlukan seri," kata Rajagobal.

Hanya latihan ringan dilakukan semalam dengan disertai 17 pemain manakala S. Chanthuru yang cedera buku lali pada perlawanan pertama masih berlatih secara bersendirian.

Sumber - Kosmo 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Peluang skuad Raja makin tipis

 NORHAFIZ (kanan) dan Ahmad Fakri sekadar jadi penonton ketika rakan sepasukan menjalani latihan, petang semalam.


DENGAN dua kecederaan terbaru melanda tonggak, senarai pemain untuk diturunkan jurulatih kebangsaan, K Rajagobal semakin menipis menjelang pertemuan penting dengan tuan rumah China di Stadium Tianhe, petang esok.

Ketika ini, hanya 13 pemain yang bebas daripada sebarang kecederaan selepas penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain sayap S Kunanlan, mengalami kecederaan ketika tewas kepada Jepun 2-0, kelmarin.

Begitupun, dia berharap tempoh rehat sehari apabila semua acara sukan di temasya Guangzhou 2010 berehat sempena majlis perasmian hari ini, sempat untuk memulihkan dua tonggak berkenaan.

“Saya sudahpun kehilangan kapten Norhafiz (Zamani Misbah) dan Fakri (Saarani) yang terpaksa berehat panjang, kalau boleh saya tidak mahu lagi kehilangan pemain tonggak bagi perlawanan penting bertemu China nanti," kata Rajagobal yang kini mempunyai sebahagian besar pemain dari skuad Harimau Muda.

Dalam perlawanan itu, Rajagobal terpaksa membuat dua pertukaran sekali gus apabila Norshahrul dan Kunanlan terpaksa dikeluarkan serentak pada minit ke-75 selepas mengalami kecederaan, dan memasukkan K Gurusamy dan Fandi Othman.

Beberapa jam selepas perlawanan bertemu Jepun tamat, China mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-1, bermakna peluang negara untuk ke suku akhir tetap ada kecuali jika Kyrgyzstan mampu menundukkan Jepun.

"China juga sebuah pasukan yang baik dengan beberapa pemain yang bagus walaupun tewas kepada Jepun. Hanya kesilapan barisan pertahanan yang membuatkan mereka tewas kepada Jepun.

"Jadi kita perlu elakkan kesilapan sebegini." 

Sumber - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...