Sunday, November 14, 2010

Persiapan Pasukan Liga M 2011

30 November 2010

Singa Utara lantik ketua jurulatih baru


PERLIS melantik ketua jurulatih baru selepas bekas pengendali, Yunus Alif, sah mengikat kontrak dengan kelab dari Terengganu, T-Team bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2011.

Pengendali yang menjadi pilihan majikan Singa Utara, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu, selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk pengalaman dimiliki selaku pemain dan bekas jurulatih dan penolong jurulatih di peringkat kebangsaan.

Menurut sumber, nama pengendali baru yang bakal menggantikan Yunus itu bagaimanapun, hanya diumum Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum atau selepas skuad itu menyertai kem motivasi di Pulau Langkawi dari esok hingga Jumaat ini.

Sumber itu berkata, pemilihan bekas pemain Kedah dan skuad kebangsaan itu diperkuatkan lagi selepas diamanah mengendalikan sesi pemilihan terbuka untuk skuad Liga Super 2011 pada 7 hingga 10 November lalu.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Besry Ku Aziz mengesahkan, seramai 22 pemain termasuk enam pemain Liga Super musim lalu bakal disenaraikan bagi mengharung cabaran Liga Malaysia musim depan.

“Selain enam pemain lama, Perlis bakal disertai lima bekas pemain beberapa skuad Liga Super dan Liga Perdana musim lalu dan pemain yang terpilih daripada sesi pemilihan terbuka,” katanya.

Sumber - Harian Metro 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Misi MP Muar FC


SELEPAS meraih tempat ke-10 pada penyertaan pertama saingan Liga Perdana musim ini, pasukan MP Muar FC berazam meningkatkan pencapaian pada saingan musim depan yang dijadual bermula Januari ini.

Ketua jurulatih MP Muar FC, Nick Sham Abdullah berkata, dua misi utama disasar musim depan adalah merangkul trofi Piala FA dan menduduki sekurang-kurangnya tempat kelima carta Liga Perdana.

Menurutnya, walaupun mengakui sasaran itu bukan mudah dicapai namun beliau yakin ia mampu direalisasi dengan membentuk pasukan mantap hasil gabungan pemain lama dan baru.

Katanya, antara pemain musim lalu yang dikekalkan ialah Rosli Azizan, Fikri Maskon, Zool Ihsan Yunus, Mohd Haizan Rosli, Mohamad Ali Abd Hamid, Rosman Ariff dan Syahril Saim selain membawa masuk bekas pemain Negeri Sembilan, K Sevan.

“Kami sudah memulakan persiapan sejak pertengahan bulan ini dan latihan intensif bermula awal Disember apabila semua pemain dikumpulkan.

“Saya yakin dengan barisan pemain serta persiapan lebih rapi yang dilaksana mampu melonjakkan prestasi pasukan ke tahap lebih membanggakan musim depan,” katanya.

Nick Sham yang masuk tahun kedua mengendalikan skuad itu, berkata pihaknya serius memperkemaskan skuad bimbingannya itu kerana mahu meletakkan MP Muar FC sebagai pasukan disegani.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan dua perlawanan persahabatan bertemu naib juara Piala Malaysia musim ini, Negeri Sembilan dengan kedua-duanya dimenangi MP Muar FC dan akan meneruskan program itu apabila bertemu Selangor di Shah Alam, malam ini.

“Saya harap persiapan rapi kali ini mampu meningkatkan prestasi pasukan serta membuahkan hasil memuaskan,” katanya.

Sumber - Harian Metro 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Skuad NS buat rombakan besar

TERDAPAT perubahan besar dalam senarai pemain skuad Negeri Sembilan berdasarkan penyertaan beberapa pemain luar pasukan itu selain pengguguran pemain muda dan perpindahan beberapa pemain musim lalu ke pasukan lain menjelang saingan Liga Malaysia 2011 bermula Januari ini.

Selain pengguguran beberapa pemain muda yang tidak disambung kontrak antaranya Mohd Afandy Adimel, finalis Piala Malaysia itu kehilangan empat pemain utama yang berpindah ke pasukan lain iaitu Rezal Zambery Yahya dan Mohd Rahman Zabul ke pasukan Johor FC manakala Ching Hong Aik serta Sani Anuar Kamsani dalam pasukan Liga Perdana. 

Bagaimanapun, terdapat empat pemain luar - masing-masing dua dari Perlis iaitu Mohd Fariza Marlias dan Mohd Ahmad Aminuddin selain dua dari KL Plus membabitkan Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadly Idrus dilihat sudah memulakan latihan bersama skuad itu sejak hampir dua minggu lalu.

Dua lagi pemain yang sebelum ini disebut-sebut bakal menyertai Negeri Sembilan iaitu penyerang Kelantan, Hairuddin Omar dan penyerang Perlis, Mohd Fakri Shaarani, bagaimanapun belum kelihatan.

Namun, butiran lanjut mengenai penyertaan keempat-empat pemain berkenaan dalam skuad Hoben Jang Hoben itu sehingga kini belum didedahkan pihak pengurusan pasukan itu.

Sumber pengurusan pasukan memberitahu penyertaan keempat-empat pemain terbabit ada kaitan dengan langkah pengurusan melakukan rombakan dalam usaha untuk membentuk skuad mantap bagi merealisasikan misi mendapatkan tiga piala iaitu mengekalkan trofi Piala FA, menjuarai Liga Super dan merampas kembali Piala Malaysia.

Sumber - Berita Harian

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pemain ATM diberi kata dua


KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi amaran agar menampilkan disiplin pada tahap tertinggi pada saingan Liga Perdana musim depan, atau disingkirkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak mahu masalah disiplin seperti ponteng latihan dan tidak serius dalam perlawanan, seperti yang berlaku musim lalu berulang kembali.

"Harapan yang tinggi harus diterjemah dengan komitmen yang tinggi dan jangan sesekali saudara (pemain dan pegawai) berada dalam situasi selesa, pastikan disiplin berada pada tahap tertinggi.

"Saya kecewa dengan prestasi pasukan ini pada musim lalu. Maruah saya tercalar apabila ada pemain tidak serius, tidak datang latihan malah ada yang mempunyai agenda sendiri sehingga kita kalah besar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis menandatangani kontrak 30 pemain pasukan ATM bagi musim 2011 di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin yang juga Presiden Pasukan Bola Sepak ATM.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sasaran ATM pada saingan musim depan ialah muncul juara Liga Perdana bagi membolehkan pasukan itu bersaing dalam Liga Super untuk tahun berikutnya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis tersebut, beliau berkata, kata duanya berkenaan bukan tekanan kepada para pemain, sebaliknya merupakan motivasi untuk menampilkan prestasi yang lebih cemerlang.

"Kalau rasa tidak menampilkan prestasi yang baik, maka ia jadi tekananlah tetapi kalau mereka semua menunjukkan prestasi yang baik, saya fikir ia adalah suatu motivasi," jelasnya.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perak giat buru dua pemain bertaraf bintang


IPOH - Perak sedang memburu dua pemain ternama untuk disenaraikan dalam skuad bola sepak Liga Super negeri itu musim depan.

Dalam buruan awal, Perak berjaya memikat bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan ketua pasukan Kedah, Shahrulnizam Mustapa menyarung jersi skuad Seladang.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bagaimanapun enggan menyebut pemain yang kini menjadi buruan skuad itu.

Katanya, pemain yang akan dipilih itu sedang dikenal pasti sebelum tempoh pendaftaran pemain berakhir Disember ini.

"Dengan penyertaan Akmal Rizal yang mempunyai pengalaman sebagai bekas pemain kebangsaan, dia mampu memberikan dorongan dalam mengalas cabaran skuad Seladang bagi menghadapi musim 2011," katanya.

Beliau merasmikan Pelancaran Kad Semusim, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penajaan jersi baru Perak jenama Specs bernilai RM300,000 dan memperkenalkan para pemain Perak untuk musim 2011 di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan Perak di sini, semalam.

MoU itu antara kerajaan negeri diwakili Zainol Fadzi dengan PT Panatrade Carawa (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arif P. Wirawan).

Kata Zainol Fadzi, pihak pengurusan sedang mengatur perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain yang dimaksudkan.

"Kita akan mengambil kira kemampuan kedudukan kewangan PAFA bagi mendapatkan pemain berkenaan," katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya yakin dengan kemampuan barisan pemain Perak yang diketengahkan kali ini.
"Kita percaya skuad Seladang mampu menjadi antara pasukan kelima terbaik dalam Liga Super,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zainol Fadzi berkata, kad bermusim yang diperkenalkan adalah ditawarkan kepada 1,000 orang pada harga RM100 bagi tempat duduk tidak berbumbung.

Katanya, sebanyak 200 tempat duduk berbumbung pula ditawarkan dengan kad berharga RM150.
Menurut beliau, peminat bola sepak yang membeli tiket bermusim, boleh menyaksikan semua 25 permainan yang berlangsung di Stadium Perak.

''Kad-kad tersebut boleh diperoleh di pejabat PAFA,'' katanya.

Sementara itu, Akmal Rizal, 29, berkata, dia sudah bersiap sedia untuk menggalas cabaran Perak musim ini.

"Saya akan bekerja keras untuk mengembalikan kegemilangan Perak dalam Liga Super 2011.

"Saya melihat barisan pemain muda yang digandingkan dalam skuad Seladang kali ini mampu untuk menghadapi cabaran itu," katanya.

Akmal Rizal merupakan pemain berpengalaman yang pernah mewakili pasukan kebangsaan sejak berusia 18 tahun, dengan kejayaan terbaru membantu Kelantan menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
  
Ada yang lupa diri

“PEMAIN yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka adalah ‘nobody’ (tidak dikenali). “KAFA ambil mereka waktu mereka digugurkan, waktu mereka tak dibayar gaji, team (pasukan) mereka bubar. Ada yang terpaksa merantau kerana gaji murah.

“KAFA dan penyokong beri mereka gaji dan bonus, beri latihan yang baik, beri pendedahan dalam dan luar negara, beri publisiti dan beri teamwork yang terbaik. Akhirnya mereka lupa siapa yang jadikan mereka bintang.”

Demikian luahan kecewa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) yang dipetik daripada laman sosial Facebook setelah beberapa pemain bintangnya dikhabarkan gagal menghadiri sesi latihan pertama yang bermula kelmarin.

Beliau nyata kecewa dengan sikap sesetengah pemain yang gagal melaporkan diri pada sesi latihan pramusim tersebut walaupun hakikatnya mereka dan pemain lain dikira secara automatik telah mengikat kontrak bersama Kelantan untuk tempoh dua musim melalui surat tawaran bertarikh 1 September lalu kerana tiada seorang pun yang menolaknya.

“Terdapat pemain yang ghairah untuk mendapatkan gaji yang tinggi, membuat rundingan di saat-saat akhir pendaftaran, sedangkan peraturan telah menetapkan mereka berbuat demikian dua bulan sebelumnya.

“Saya tak dapat layan pemain secara individu terutama yang minta gaji tinggi. Saya perlu adil kepada semua. Kalau ada negeri nak tawar gaji tinggi, itu hak mereka dan pemain pilihlah sendiri tapi mesti ikut peraturan.

Pemain wajib tebus kontrak, negeri wajib berunding dan bayar yuran perpindahan. Pelaburan KAFA bukan sedikit,” katanya.

Tambah Annuar, kelab juga seharusnya membuat tawaran kontrak tiga bulan sebelum tempohnya tamat. Tindakan-tindakan ini mungkin akan mengakibatkan kesan yang buruk kepada kelab asal yang kehilangan pemain pada saat-saat akhir.

Jelasnya, kesan yang buruk juga mungkin akan diterima oleh pemain yang mana status mereka boleh dipertikaikan dan mungkin juga menjadi kes di mahkamah sivil kerana melanggar kontrak.

“Mereka semua (pemain) dinasihatkan merujuk kepada peraturan dengan menghubungi sekretariat di FAM sekiranya terdapat keraguan.

 “Pemain dan pasukan yang menyertai Liga Malaysia terutama dalam Liga Super patut berusaha untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme masing-masing sesuai dengan penyertaan dalam liga profesional,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Annuar, akhir-akhir ini didapati banyak pemain dan juga kelab yang langsung tidak memahami peraturan-peraturan asas berhubung dengan etika sebagai pemain ataupun tanggungjawab pengurusan kelab.

Sementara itu, Kosmo! difahamkan, ada desas-desus mengatakan kegagalan pemain terbabit menyertai latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sejak kelmarin ekoran rasa tidak puas hati mengenai beberapa perkara.

Antaranya kerana ada pemain yang kini sedang menimbang tawaran daripada pasukan lain yang lebih lumayan sedangkan mereka telah pun sah milik Kelantan melalui surat tawaran yang diberikan sebelum ini.

Selain itu, KAFA juga enggan melayan permintaan beberapa pemain yang mahu gaji mereka dinaikkan lagi walaupun sebahagian pemain bintang menerima gaji yang cukup lumayan sebelum ini.

Kosmo! yang mengikuti sesi latihan pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV mendapati, semua pemain sudah memulakan latihan kecuali tiga pemain bintang termasuk Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan termasuk S. Chanturu yang mengalami kecederaan.

Sumber - Kosmo 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

24 November 2010

Perlis bentuk pasukan mantap, berdisiplin


SKUAD Liga Super Perlis musim depan memulakan persiapan dengan menyertai kem motivasi tiga hari di Pulau Langkawi dari 1 hingga 3 Disember ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Ku Besry Ku Aziz berkata, kem motivasi itu penting kerana lebih 85 peratus anggota pasukan adalah pemain baru dan muda.

Katanya, kem itu diharap membentuk pasukan mantap, berdisiplin serta memiliki semangat sepasukan tinggi menjelang permulaan saingan, Januari ini.
“Oleh kerana pasukan ini 85 peratus berusia bawah 23 tahun, kem ini diharap membantu menjayakan misi itu.

“Barisan baru ini diharap mampu menunjukkan mutu permainan dan semangat juang tinggi,” katanya.

Pegawai Media PFA itu turut berkata, selain kepemimpinan dan pengurusan PFA termasuk ketua jurulatih, seorang pakar motivasi diundang bagi menjayakan program itu.

“Sepanjang program tiga hari itu, pemain didedah dengan pelbagai aktiviti yang menjurus ke arah menjayakan matlamat meningkat dan memantapkan semangat sepasukan.” Seramai 22 pemain dan beberapa pegawai pasukan menyertai program itu tapi beliau belum bersedia menyenaraikan nama pemain baru skuad Singa Utara.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Arif rehat tiga bulan


MALANG menimpa pemain muda Perak, Muhd Arif Ismail apabila terpaksa berehat tiga bulan akibat kecederaan ketika beraksi menentang Terengganu pada suku akhir pertama Piala Emas Raja-Raja di Ipoh, baru-baru ini.

Pemain berusia 24 tahun yang dijangka menjadi tonggak benteng Seladang menghadapi Liga M musim depan mengalami kecederaan serius pergelangan kaki.

Pengurus skuad Liga Super Perak, Khairul Azwan Harun berkata, Arif dijangka tidak dapat beraksi di peringkat awal liga bermula Januari ini. Sehubungan itu, Perak mencari seorang pemain bek tengah berwibawa memperkukuh pasukan.

“Apa yang kami perlukan sekarang mencari seorang pemain pertahanan berwibawa bagi melengkapkan pasukan serta memberi lebih pilihan kepada jurulatih menamakan kesebelasan utama,” katanya.

Khairul Azwan berkata, kecuali di bahagian pertahanan pada dasarnya Perak sudah melengkapkan pencarian pemain diperlukan khususnya di bahagian serangan.

Pengurus Perak itu juga mengingatkan tiada pemain boleh menganggap kedudukan mereka terjamin dalam pasukan itu. “Kita tidak mengamalkan sikap pilih kasih. Hanya yang terbaik berada di atas padang.

“Rekod lampau bukan kayu pengukur atau kriteria pemilihan. Justeru setiap pemain memiliki peluang sama beraksi dengan syarat mereka membuktikan kemampuan,” katanya.

Beliau juga berkata disiplin tinggi turut menjadi asas penting pengurusan dan sehubungan itu mengingatkan anak buahnya supaya menunjukkan komitmen tinggi.

Sumber - Harian Metro


---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Akmal Rizal sah sertai Perak


KOTA BHARU - Kelantan kehilangan penggempur berbisa Akmal Rizal Ahmad Rakhli, apabila pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan dia akan menyarung jersi Perak, musim depan.

Akmal Rizal, yang membantu Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama baru-baru ini, mengakui dia akan menyertai skuad Seladang dengan kontrak dua tahun.

Menurutnya, dia sudah pun menandatangani perjanjian dengan Perak, yang kini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Kelantan, Norizan Bakar.

"Begitupun, saya belum menandatangani sepenuhnya kontrak tersebut. Kontrak saya bersama Kelantan akan tamat hujung bulan ini, jadi saya perlu menghormati baki kontrak tersebut.

"Walaupun hanya semusim bersama Red Warriors, saya gembira kerana dapat menjalankan tugas sebagai seorang pemain dengan baik, membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, kejayaan membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia amat bermakna sepanjang bergelar pemain profesional.

Ditanya mengapa beliau memilih Perak, Akmal Rizal memberitahu dia mahu mencuba sesuatu yang baru bersama skuad tersebut.

"Sebagai pemain profesional, saya inginkan cabaran dan membuktikan sentuhan saya masih berbisa.
"Kejayaan membantu Kelantan pastinya mahu diulangi apabila mewakili pasukan Perak musim hadapan," ujarnya.

Tambahnya, sebelum meninggalkan Kedah pada 2006, dia sememangnya bercita-cita untuk menyertai banyak pasukan.

Jelasnya, dia mungkin akan beraksi untuk tiga atau empat tahun lagi sebelum bersara.
Sepanjang bersama Red Warriors, bekas pemain kebangsaan itu menjaringkan sembilan gol, iaitu tiga pada saingan Liga Super dan enam gol pada Piala Malaysia.

Akmal Rizal pernah beraksi bersama beberapa pasukan termasuk Kedah (2001-2006), Selangor (2007- 2008) dan Kuala Muda NAZA (2009), juga kelab luar negara iaitu Strasborg di Perancis selama dua tahun.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

23 November 2010 

Dollah kekal jurulatih, Surendran mantapkan skuad bola Pahang


KUANTAN - Dollah Salleh sah kekal sebagai jurulatih skuad bola sepak Pahang musim 2011, dengan matlamat sekurang-kurangnya membawa pulang satu daripada tiga gelaran juara dalam saingan Piala Malaysia, Liga Super atau Piala FA.

Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh mengesahkan semua pemain Pahang musim lalu dikekalkan, kecuali Darma Raju yang menyertai Selangor, manakala Nik Zul Aziz Nawawi dan Hasmizan Kamarodin berhijrah ke Terengganu.

Pahang turut menerima kehadiran dua penyerang Selangor, R. Surendran dan anak bekas jurulatih dan penyerang Pahang, Zainal Abidin Hassan, M. Zaiza Zainal untuk menajamkan jentera serangan.

"Dollah Salleh kekal sebagai jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menetapkan matlamat untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala musim depan," katanya.

Dollah dan sebahagian besar pemain musim lalu serta dua penyerang Selangor itu sudah mendapat lampu hijau daripada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk memulakan latihan.

Kemasukan dua penyerang Selangor itu sebahagian usaha Pahang mengatasi kelemahan yang agak ketara sehingga terpaksa meminjam penyerang Johor, Mohd. Faizol Hussain, dalam saingan Piala Malaysia.

Tiada perubahan besar di semua posisi, kecuali kepincangan barisan hadapan yang memerlukan sekurang-kurangnya seorang penyerang terbaik untuk mengecap kejayaan lebih membanggakan.

"Pahang berjaya mendapatkan dua penyerang, iaitu seorang penyerang berpengalaman, sementara seorang lagi penyerang muda yang mampu di bentuk sebagai penggempur berbisa" katanya.

Skuad kendalian Dollah Salleh berjaya berada menduduki kelompok lapan pasukan teratas Liga Super, serta layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas tewas tipis kepada Johor FC, mampu lebih menonjol musim depan.

Sebahagian besar pemain Pahang berusia dalam lingkungan 23 hingga 25 tahun kecuali ketua pasukan , Jalaludin Abu Jaaafar yang dilihat masa terbaik untuk mereka mencapai kemuncak prestasi
Che Nasir yakin, barisan muda Pahang yang agak gementar dalam saingan peringkat tinggi seperti saingan suku akhir di hadapan puluhan ribu penyokong musim lalu, diharap mampu tampil dengan lebih berkeyakinan.

"Pemain muda Pahang sudah banyak menimba pengalaman dan mereka semakin menunjukkan peningkatan musim lalu dan prestasi mereka di harap benar-benar memuncak di musim ini, " katanya.

Pahang masih mencari pemain berpengalaman bagi membentuk skuad yang lebih berjaya berbanding musim lalu untuk mencapai matlamat yang dipertaruhkan kepada Dollah dan anak buahnya.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

21 November 2010

Ramai pemain hijrah


BERIKUTAN penyertaan beberapa pemain luar dan pengguguran pemain muda serta penghijrahan beberapa pemain musim lalu ke pasukan lain, ada kemungkinan naib juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan melakukan rombakan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Kontrak pemain muda, Mohd Afandy Adimel tidak lagi disambung dan tiga tonggak berpengalaman Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya, Mohd Rahman Zabul dan Ching Hong Aik berhijrah ke pasukan lain.

Bagaimanapun, empat pemain luar, dua dari Perlis, penjaga gol, Mohd Fariza Marlias dan Ahmad Aminuddin, dan dua dari KL Plus, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadly Idrus sudah mula berlatih bersama Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu, sekali gus mengesahkan mereka bakal menyertai skuad berkenaan.

Dua lagi pemain yang sebelum ini disebut-sebut bakal menyertai Negeri Sembilan, penyerang Kelantan, Hairuddin Omar dan penyerang Perlis, Mohd Fakri Shaarani, bagaimanapun belum kelihatan.

Maklumat mengenai penyertaan keempat-empat pemain berkenaan bagaimanapun sehingga kini belum didedah pengurusan pasukan.

Sumber berkata, kehadiran empat pemain terbabit itu berkait rapat dengan langkah pengurusan melakukan rombakan untuk membentuk skuad mantap dalam misi mendapatkan tiga piala iaitu mengekalkan trofi Piala FA, menjuarai Liga Super dan merampas kembali Piala Malaysia.

“Mereka menyertai latihan kendalian jurulatih Wan Jamak Wan Hassan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi sejak beberapa hari lalu.

“Saya jangka mereka adalah antara pemain yang disebut-sebut bakal menyertai Negeri Sembilan untuk musim depan,” katanya.

Sementara itu, Kelab Penyokong Negeri Sembilan (N9fotball) berharap langkah itu mampu membawa hasil memuaskan untuk mengecapi kejayaan membanggakan musim depan.

“Berdasarkan pengalaman dan reputasi mereka, kami menaruh harapan tinggi terhadap pemain terbabit membantu merealisasikan sasaran,” kata Timbalan Presiden, Mohd Faidzul Mohd Noh.

Sumber - Harian Metro

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Norizan mulakan latihan skuad Seladang


SIKAP serius, Norizan Bakar mengendalikan latihan pertama skuad barunya di Stadium Perak, petang kelmarin membayangkan perwatakan tegas ketua jurulatih Perak itu.

Tempoh latihan sejam setengah itu diguna pengendali berpengalaman itu untuk melakukan gerakerja kemahiran asas serta memberi pelbagai tunjuk ajar apa yang perlu dilakukan dalam situasi permainan sebenar.

Malah, jurulatih itu melakukan kejutan dalam sesi latihan yang turut disaksikan beberapa pegawai Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) termasuk Pengurus pasukan, Khairul Azwan Datuk Harun apabila turut berlari keliling padang bersama pemain ketika memanaskan badan.

Norizan ketika ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pasukan barunya itu.

“Baru lagi. Saya pun belum kenal serta tahu setiap pemain. Biarlah saya buat kerja seminggu atau dua dahulu. Selepas itu barulah boleh komen,” kata Norizan selepas latihan semalam.

Sebelum itu, pemain dirai Khairul Azwan yang juga Bendahari Pafa dalam satu majlis ringkas di Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan.

Dalam ucapannya, pengurus Perak itu berharap pemain mengamalkan disipilin tinggi serta mempunyai keikhlasan semasa melaksanakan tugasan mereka.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perlis bakal gabung pemain lama dan baru


SERAMAI 22 pemain termasuk enam anggota skuad musim lalu bakal disenaraikan menyarung jersi Liga Super Perlis bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2011.

Selain itu, turut berada dalam senarai yang bakal dicadangkan untuk mengikat kontrak bersama skuad utama Singa Utara itu ialah lima bekas pemain Liga Super beberapa negeri termasuk dari Kedah.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Ku Besry Ku Aziz berkata, kecuali enam bekas anggota skuad musim lalu, dua penjaga gawang, Mohd Hairol Fazreen Abu Hassan dan Mohd Amirul Rosli, dua pertahanan, Phul Sakh a/l Lum dan Azmizi Azmi serta dua penyerang, Wan Khairul Faiz Wan Kamaruddin dan Mohd Faiz Subri, 16 lagi pemain terpilih melalui sesi pemilihan terbuka dari 7 hingga 10 November lalu.

Katanya, sesi ujian itu disertai 60 pemain termasuk pemain skuad pelapis negeri serta beberapa pemain pasukan negeri dan kelab yang beraksi untuk Liga Super dan Liga Perdana.

“Melalui sesi pemilihan yang dijalankan, 16 daripada 60 pemain dilihat memiliki kriteria yang ditetapkan dan dicadangkan kepada jawatankuasa pemilihan PFA untuk dinilai bagi menganggotai skuad Liga Super,” katanya.

Ku Besry yang juga Pegawai Media PFA bagaimanapun berkata, nama semua pemain baru yang terpilih untuk menyarung jersi Liga Super 2011 itu akan diketahui selepas diumum Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, apa yang pasti daripada jumlah itu hanya enam bekas pemain anggota Liga Super lalu, setakat ini disahkan bakal menganggotai skuad berkenaan.

“Walaupun sudah mengenal pasti nama pemain tapi belum dapat diumum. Presdien dijangka akan umum dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------


20 November 2010

NS hilang Rezal, Rahman


SEKALIPUN berjaya membantu Negeri Sembilan muncul naib juara Piala Malaysia dan menjulang Piala FA musim lalu, tiga pemain utama yang tamat kontrak 31 Oktober lalu, sah menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Kapten, Rezal Zambery Yahya dan Mohd Rahman Zabul menyertai pasukan kelab selatan tanah air, Johor FC manakala pemain paling senior dalam skuad Hoben Jang Hoben itu, Ching Hong Aik, bakal menyertai sebuah pasukan Liga Perdana.

Rezal mengesahkan mengikat kontrak dua tahun manakala Mohd Rahman selama setahun dengan Johor FC.“Penghijrahan untuk mengembangkan karier bola sepak dan bukan ada masalah dengan pengurusan Negeri Sembilan. Tindakan ini atas kehendak saya.

“Selepas enam musim bersama Negeri Sembilan, saya ingin mencari angin baru dan berharap sumbangan saya memberikan kelainan serta kepuasan menerusi kejayaan membanggakan,” kata Rezal.

Menurutnya, Johor FC dipilih kerana pasukan itu tidak banyak beza dengan pasukan Liga Super dan kejayaan ke suku akhir Piala Malaysia musim lalu membuktikan kekuatan skuad itu.

Katanya, selain itu, kesungguhan pengurusan untuk bersaing dan memberi tentangan dalam Liga Malaysia musim depan membuatkannya ingin menyumbang segala pengalaman dan membantu skuad itu memenuhi impian mereka.

“Saya pasti gunakan pengalaman untuk bantu Johor FC dan harap rakan sepasukan memberikan kerjasama dan kepercayaan kepada saya untuk sama-sama merealisasikan apa juga impian,” katanya.

Sementara itu, Hong Aik berkata, tindakan PBNS tidak menyambung kontrak tidak mematahkan semangatnya untuk terus beraksi musim depan sekalipun bersama pasukan Liga Perdana.

“Saya tidak kira sama ada Liga Super atau Liga Perdana kerana yang penting dapat terus beraksi dan memberikan sumbangan kepada pasukan,” kata pemain berusia 37 tahun itu. 

Sumber - Harian Metro

------------------------------------------------------------------------------------------------

Pafa tak halang pemain


PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) bukan semata-mata mahu meningkatkan permainan itu tetapi turut memberi perhatian terhadap pembangunan insan.

Justeru, Pafa tidak akan menyekat pemain daripada berpindah ke pasukan lain jika langkah itu mampu membawa kebaikan kepadanya.

Pengurus Perak, Khairul Azwan Harun berkata demikian ketika mengulas langkah Pafa melepaskan penyerang muda, Shahrizal Mohd Saad ke pasukan lain untuk musim depan.

Shahrizal yang ketika ini mengetuai skuad Piala Emas Raja-Raja Perak didakwa mengumumkan hasrat meninggalkan Perak selepas menerima tawaran sebuah pasukan di selatan tanah air.

Azwan berkata demi perkembangan pemain itu, Pafa merelakan pemergian Shahrizal kerana menyedari langkah itu baik demi masa depan kerjaya bola sepaknya.

“Saya yakin Shahrizal akan menimba banyak ilmu bersama pasukan lain dan apabila kembali ke Perak nanti pasti meletup.

“Pafa merestui pemergian serta mendoakan kejayaannya,” katanya ketika menafikan pemergian pemain itu berikutan kelewatan Pafa bertindak.

Sementara itu, seorang pemain bertaraf bintang sudah berada dalam senarai untuk menyertai Perak bagi kempen musim depan.

Sumber - Harian Metro

----------------------------------------------------------------------------------------------

17 November 2010

Khairul kekal di Selangor


PEMAIN berpengalaman, Khairul Anuar Baharom melahirkan penghargaan kepada pengurusan pasukan Selangor yang mengekalkan kedudukannya dalam pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan, bermula awal Januari ini.

Pemain berusia 37 tahun itu yang mula mewakili Gergasi Merah musim lalu antara beberapa pemain berpengalaman yang masih mendapat kepercayaan untuk beraksi di Liga Malaysia selepas membantu Selangor mengungguli kejuaraan Liga Super dan Piala Sumbangsih, musim ini.

Khairul tidak menyangka pengurusan menyambung kontraknya setahun lagi walaupun pasukan bimbingan K Devan itu gagal mencapai misi merampas Piala Malaysia musim ini.

“Saya ucap terima kasih kepada pengurusan yang mengekalkan saya bagi musim depan. Saya tidak menyangka kontrak saya disambung setahun lagi walaupun sebenarnya tidak berhajat untuk berpindah ke pasukan lain.

“Saya lega dengan keputusan itu dan sudah pasti ia berkait rapat dengan sumbangan membantu kejayaan pasukan musim lalu iaitu menjulang dua trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih,” katanya.

Dia yang lebih dikenali dengan nama samaran 'Ah Chong' di kalangan teman rapat mempunyai pengalaman luas dan pernah mewakili skuad kebangsaan ketika dikendali Wan Jamak Wan Hassan dan Abdul Rahman Ibrahim.

Khairul Anuar mula membuat penampilan dalam Liga Malaysia bersama skuad Terengganu sebelum berhijrah ke Perak, Kedah dan Negeri Sembilan dan pernah beraksi bersama skuad Polis untuk saingan musim 2008.

Katanya, dia berazam membalas kepercayaan pengurusan dengan memberi sumbangan lebih baik sepanjang musim depan bermula dengan misi mempertahankan Piala Sumbangsih apabila Selangor bertemu juara Piala Malaysia, Kelantan pada aksi pembuka tirai.

Sumber - Harian Metro

---------------------------------------------------------------------------------------------------

16 November 2010

Perak hilang khidmat Shahrizal


KELEWATAN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bertindak menyaksikan pasukan Seladang kemungkinan hilang khidmat penyerang muda, Shahrizal Saad kepada pasukan lain.

Menurut sumber, adik bekas pemain pertahanan negeri, Syamsol Saad itu sudah memeterai perjanjian dengan sebuah pasukan selatan tanah air gara-gara Pafa tidak menunjuk minat untuk menggunakan khidmatnya.

“Shahrizal berminat menyarung jersi Perak untuk musim akan datang tapi tidak menerima maklum balas mengenai kedudukannya hingga kini.

“Berikutan itu dia sudah mengikat perjanjian dengan pasukan terbabit,” katanya.

Menurut sumber itu, pemergian Shahrizal yang ketika ini adalah kapten skuad Piala Emas Raja-Raja Perak pasti merugikan negeri selepas usaha membangunkan pemain itu dilaksanakan sekian lama.

“Saya yakin banyak wang dibelanjakan untuk melahirkan seseorang pemain tetapi alangkah ruginya segala usaha itu apabila pemain dipikat pasukan lain,” katanya.

Beliau juga mempertikai tindakan Pafa mengambil kembali khidmat pemain kuda tua bagi menghadapi kempen Liga M musim 2011.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Norizam kembali ke pangkuan Johor


PENYERANG Negeri Sembilan, Norizam Salaman antara beberapa pemain pasukan itu yang digugurkan dan akan kembali ke pasukan lamanya, Johor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan awal Januari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu mengesahkan naib juara Piala Malaysia itu tidak menyambung khidmatnya selepas hanya semusim dan terpaksa meneruskan karier bola sepaknya dengan pasukan Johor yang diwakilinya sejak enam tahun lalu.

“Saya harap dapat memberikan sumbangan terbaik untuk membantu Johor sekurang-kurangnya kembali ke Liga Super musim 2012.

“Walaupun Johor beraksi di Liga Perdana musim depan, ia tidak mematahkan semangat saya memberikan sumbangan demi memastikan Johor kembali menjadi pasukan disegani,” katanya.

Pemain berasal dari Sri Gading, Batu Pahat itu mengaku setakat ini dia belum menandatangani perjanjian dengan skuad berkenaaan namun sudah membuat keputusan untuk bersama mereka musim depan selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan, baru-baru ini.

Dia juga mengakui sepanjang semusim bersama skuad Hoben Jang Hoben, banyak pengalaman ditimba terutama bimbingan daripada jurulatih berpengalaman Wan Jamak Wan Hassan yang bakal membantunya meningkatkan persembahan.

“Sudah pasti saya akan guna pengalaman itu ketika bersama Johor. Walaupun tidak beraksi dalam kelompok pemain utama, saya puas hati dan kejayaan paling manis ialah membantu Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala FA apabila berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penalti yang menewaskan Kedah, 5-4,” katanya.

Norizam yang menjaringkan tujuh gol ketika bersama Negeri Sembilan berazam meningkatkan prestasi dan memberikan sumbangan lebih baik bagi meletakkan dirinya sebaris dengan beberapa pemain utama lain.

“Saya akan berusaha meningkatkan prestasi kerana saingan Liga Malaysia makin mencabar dengan kehadiran pasukan baru dan pemain muda,” katanya.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------


15 November 2010

Akmal hampir pasti milik Perak


BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli besar kemungkinan menyarung jersi Perak dalam kancah bola sepak Liga M musim depan.

Pemain berasal dari Kedah itu yang musim ini beraksi untuk juara Piala Malaysia, Kelantan selepas mencurah kudrat di Selangor pada 2009 dijangka berada di Ipoh hari ini untuk memeterai ikatan dengan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kedatangan pemain yang pernah menimba pengalaman dengan kelab dalam Liga Perancis satu masa dulu untuk menyertai skuad bimbingan Norizan Bakar, musim ini.

“Kami akan adakan perbincangan dan jika semua lancar pemain itu akan mengikat perjanjian esok (hari ini),” katanya.

Zainol berkata, beberapa pemain termasuk dua pemain kebangsaan yang kini berada di Guangzhou dan seorang lagi pemain skuad Red Warriors juga menyatakan keinginannya menyertai Seladang.

“Dua daripada pemain itu adalah anak negeri Perak manakala seorang dari luar. Kita hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan mereka,” katanya.

Pafa sebelum ini menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman termasuk Sharulnizam Mustapa, Chan Wing Hoong, Khairi Zainuddin dan Nasril Nourdin.

Sumber - Harian Metro

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Jangan sogok pemain


“JANGAN lakukan sogokan,” tegas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa sebagai peringatan kepada semua pasukan yang cuba memancing pemain pada kempen Liga Malaysia musim baru ini.

Annuar berkata, semua pasukan tidak boleh berunding dengan mana-mana pemain yang masih mempunyai kontrak.

Katanya, semua pasukan diminta mematuhi peraturan sedia ada dan tidak memancing pemain pasukan lain ketika ini.

“Perundingan ini hanya boleh berlaku sebelum 30 November ini untuk musim akan datang iaitu tawaran dalam tempoh tiga bulan sebelum kontrak pemain itu tamat.

“Jangan cuba lakukan sogokan atau bayaran di belakang semata-mata memancing pemain kerana ia akan merosakkan segala-galanya kerana Liga Malaysia mesti berperaturan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan berhubung tindakan memancing pemain berikutan beberapa laporan sudah diterima.

Katanya, pemain sepatutnya tahu mereka masih milik pasukan lama secara automatik walaupun masih tidak menandatangani kontrak baru dengan pasukan itu dalam tempoh tiga bulan sebelum berakhir kontrak.

“Jika tidak maklumkan mahu bermain dengan pasukan baru kita khuatir lesen pemain itu tergantung dan akhirnya tidak dapat beraksi dengan mana-mana pasukan,” katanya.

Sumber - Harian Metro

-------------------------------------------------------------------------------------------------

14 November 2010

Lima tonggak tidak terjejas


BEBERAPA pemain skuad Liga Super Negeri Sembilan musim ini dijangka digugurkan namun nasib lima pemain utama skuad Liga Super Negeri Sembilan yang kontrak mereka tamat pada akhir Oktober lalu dijangka tidak terjejas sebaliknya kekal bersama pasukan itu bagi menghadapi musim depan.

Lima pemain utama itu ialah kapten Rezal Zambery Yahya, Mohd Rahman Zabul, Shahurain Abu Samah, Ching Hong Aik dan Sani Anuar Kamsani.

Tanpa menamakan pemain yang disingkirkan itu, Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemain yang digugur membabitkan mereka yang mengalami kecederaan serius dan tidak berada dalam senarai pemain utama.
Menurutnya, tindakan terpaksa dibuat bagi membolehkan pengurusan membentuk skuad lebih mantap dalam menghadapi saingan musim depan dan misi merealisasikan harapan merangkul tiga kejuaraan utama iaitu mengekalkan Piala FA, merampas kembali Piala Malaysia dan menjuarai Liga Super.

“Selain itu, kami juga beri peluang kepada mereka mencari pasukan lain yang berminat dan peluang menjadi pemain utama pasukan baru itu.

“Jika tidak melakukannya, kami seolah-oleh menyekat peluang mereka beraksi ketika mereka boleh menyumbang kepada pasukan baru sebagai pemain utama,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, PBNS akan mewujudkan satu Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru membabitkan pasukan kelab jemputan luar negara terutama dari Indonesia dan Singapura.

Beliau berkata, kejohanan itu yang dirancang diadakan Disember ini sebagai salah satu aktiviti pemanas badan bagi skuad Liga Super sebelum memulakan cabaran liga yang bermula Januari dan juga satu daripada usaha merapatkan hubungan dengan pasukan luar negara.

“Kami akan jemput kelab luar negara mungkin antaranya Palembang Indonesia untuk menyertai kejohanan ini bagi merebut trofi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir).

“Kami harap ia menjadi satu daripada usaha menyemarak dan memajukan lagi sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Sumber - Harian Metro

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perlis umum senarai pemain minggu depan


PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) dijangka mengumumkan senarai penuh pemain skuad Singa Utara untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2011, minggu depan.

Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Besry Ku Aziz berkata, pengumuman barisan pemain, rata-rata pemain muda dan muka baru itu dilakukan Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Justeru, katanya, proses mengenal pasti giat dilakukan termasuk melalui sesi pemilihan terbuka di padang Kompleks A, Kompleks Sukan Negeri Perlis, sejak Ahad lalu.

“Bagaimanapun, nama-nama pemain hanya diketahui minggu depan dan Presiden PFA akan mengumumkannya,” katanya tanpa membayangkan siapakah antara pemain yang bakal disenaraikan.

Sementara itu, Ku Besry yang juga Pegawai Media PFA berkata, lima atau enam bekas pemain utama skuad Liga Super dan Liga Perdana musim lalu menyatakan hasrat menyarung jersi Perlis pada musim depan.

Bagaimanapun, katanya, pengurusan pasukan dan PFA tidak terburu-buru menyenaraikan nama pemain terbabit melainkan selepas dinilai.

“Kami beri peluang kepada mereka untuk membuktikan keupayaan sebelum disenaraikan dalam skuad utama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sesi pemilihan terbuka untuk semua pemain seluruh negara berakhir semalam.

Katanya, semua yang dikenal pasti memenuhi kriteria ditetapkan akan dinilai pada sesi terakhir minggu depan sebelum diserapkan dalam skuad utama.

Sumber - Harian Metro 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...