Tuesday, November 30, 2010

Malaysia vs Indonesia

'Jangan hormat berlebihan'


“BOLEH hormat tapi jangan berlebihan kerana ia hanya mengundang padah buat kita. Memang Indonesia dan Thailand kuat tapi pemain tidak boleh membiarkan rasa rendah diri itu mengatasi keupayaan sebenar mereka.” Itulah pesanan ketua jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal.

Indonesia dan Thailand adalah dua pasukan menjadi pilihan mewakili Kumpulan A saingan Piala Suzuki AFF 2010 ke peringkat separuh akhir manakala Malaysia pula diletakkan sebagai ‘underdog’.

“Saya tidak melarang kalau pemain kita mahu menghormati lawan dan memang itulah yang perlu mereka lakukan. Tapi jangan sampai berlebihan. Hormat itu satu perkara dan melawan itu satu perkara lain. Perasaan terlalu menghormati itu membuatkan kita gentar.

“Itulah yang saya tidak mahu. Pemain perlu optimis. Memang penonton di Indonesia ini fanatik tapi kita ke sini untuk bertanding dan bertandinglah betul-betul. Semua yang datang ke sini, ada tugas dan mereka perlu laksanakan tugas itu dengan baik,” kata Rajagobal.

Beliau mahu anak buahnya bijak mengambil kesempatan dalam setiap peluang yang ada dan tegas mengingatkan sepanjang 90 minit permainan, Malaysia pasti mampu mencipta ruang menjaringkan gol.

Beliau sendiri sudah menyaksikan rakaman video dua aksi Indonesia baru-baru ini termasuk ketika mereka menumbangkan Taiwan 2-0 pada perlawanan persahabatan, 25 November lalu dan serba sedikit tahu mengenai kekuatan dan kelemahan skuad bimbingan jurulatih Alfred Riedl itu.

“Pemain mereka paling berbahaya ialah Cristian Gonzalez. Dia perlu dikekang setiap masa dan saya sudah mengingatkan pemain terutama pertahanan mengenai padah yang bakal menimpa andai pemain itu dibiarkan bebas bergerak terutama dalam kotak penalti,” katanya.

Di kotak fikirannya, Rajagobal sudah membayangkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan menentang Indonesia esok tapi mahu merahsiakannya terlebih dulu dengan alasan supaya anak buahnya tidak mengambil mudah dan bersedia andai terpilih.

“Semua pemain perlu bersedia. Saya sengaja tidak mahu menamakan kesebelasan utama lebih awal kerana ia membuatkan pemain kita sambil lewa. Biarlah saya mengumumkan senarai 11 pemain itu pada saat akhir nanti. Buat masa sekarang, semua pemain perlu berasakan mereka semua adalah pemain utama,” katanya.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
  
Indonesia turut hadapi masalah kecederaan

MENJELANG pertemuan pembukaan Kumpulan A bertemu tuan rumah, Indonesia, skuad bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal seharusnya mampu menarik nafas lega kerana khabar dihidangkan rakan sejawatnya di Indonesia, Alfred Riedl menyatakan beliau juga dibelenggu masalah serupa - kecederaan pemain.

Setakat semalam, Riedl belum memutuskan siapa yang diturunkan selaku kesebelasan utama pada perlawanan menentang Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, esok dan semuanya gara-gara ramai pemain tonggaknya mengalami kecederaan.

Kelmarin, Riedl terpaksa mengetepikan tonggak pertahanan, Nova Arianto akibat kecederaan pangkal paha dan sebelum itu, beliau sudah menghantar pulang Hariono dan Oktavianus Maniani akibat masalah sama.

Hariono dilaporkan masih belum cergas sepenuhnya manakala Oktavianus pula berdepan masalah hamstring.
Nova dan Hariono mewakili kelab Persib Bandung manakala Oktavianus Maniani pula mewakili Persija.

Nova dan Hariono adalah pemain yang sering dipertaruhkan Riedl pada setiap kejohanan antarabangsa. Nova, 32, digandingkan dengan Charis Yulianto di benteng pertahanan dan ketiadaannya sangat dirasai Riedl.

“Nova memerlukan dua minggu untuk sembuh dan kami tidak mempunyai masa sebanyak itu. Kami terpaksa mengubah dan merombak semula pasukan. Saya tidak mempunyai pilihan lain,” kata Riedl.

Ketiadaan Nova memaksa Riedl bergantung harap kepada Hamka Hamzah, Muhammad Robby, Zulkiffli Syukur, dan Muhammad Ridwan di benteng pertahanan dan Riedl berkata, beliau turut terpaksa memanggil semula Yesaya Desnam yang sebelum ini diketepikan bagi menggantikan Nova.

“Selain kehilangan Nova, kami tidak berdepan masalah lain. Saya cuma berharap tiada lagi pemain kami yang cedera dalam masa terdekat ini. Kami bersedia sepenuhnya menentang Malaysia pada perlawanan pembukaan nanti,” katanya.

Indonesia pernah muncul naib juara kejohanan Piala Suzuki AFF sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2000, 2002 dan 2004. Kali ini, selaku tuan rumah, Riedl mahu anak buahnya tidak mensia-siakan peluang mengungguli Kumpulan A yang turut dihuni Thailand dan Laos.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jangan layan provokasi



SEPANG – Jurulatih K. Rajagobal mengingatkan pemain supaya tidak melayan provokasi penyokong fanatik pasukan tuan rumah, Indonesia pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, esok.

Sebaliknya, Rajagobal menggesa pemain agar memberi fokus kepada permainan, dalam usaha memburu kemenangan pertama sebelum bertemu juara tiga kali, Thailand dan Laos pada dua perlawanan berikutnya.

‘‘Jika pemain gagal mengawal tekanan yang akan diberikan oleh penyokong pasukan tuan rumah, saya bimbang mereka boleh hilang tumpuan, seterusnya melakukan kesilapan mudah yang mungkin memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

‘‘Sebenarnya itulah yang dimahukan oleh penyokong lawan. Oleh itu, saya harap para pemain menampilkan aksi seratus peratus dalam 90 minit aksi, jangan ambil kisah dengan ejekan atau provokasi penyokong lawan, ’’ kata Rajagobal yang ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Jakarta, semalam.

Sokongan padu para penyokong Indonesia boleh menjadi senjata tambahan buat skuad Garuda itu untuk memburu kemenangan ke atas Malaysia.

Ini ditambah hubungan kedua negara yang sedikit tegang beberapa bulan lalu, mungkin mendorong penonton tuan rumah lebih beremosi dalam perlawanan itu nanti.
 
Lantaran itu, pemain Malaysia harus memperkuatkan ketahanan mental menghadapi kerenah penyokong Indonesia, jika berhasrat mengutip tiga mata dalam pertemuan sulung Kumpulan A, dan seterusnya membuka langkah ke separuh akhir.

Bercerita mengenai peluang skuad negara, Rajagobal lebih selesa jika mereka dilabelkan dengan status underdog sambil menyifatkan kelebihan banyak berpihak kepada tuan rumah.

‘‘Dalam mana-mana kejohanan, sudah tentu pasukan tuan rumah mendapat sedikit kelebihan.

“Namun, itu tidak menggusarkan saya kerana yakin dengan kemampuan semua pemain, selagi mereka bermain mengikut arahan yang diberikan, ’’ katanya.

Nada Rajagobal begitu yakin, walaupun skuad yang terbang ke Jakarta semalam, sedikit tempang tanpa beberapa pemain utama.

Antaranya Aidil Zafuan Abdul Razak, Zaquan Adha, Baddrol Bakhtiar, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Nasriq Baharom dan Azmi Muslim.

Ia ditambah dengan faktor kehadiran saat akhir ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah mampu menambah sengatan di bahagian serangan

‘‘Saya terfikir mahu mengambil Amri selepas melihatkan aksinya ketika perlawanan persahabatan berdepan Selangor pada Jumaat lepas. Dia adalah seorang pemain yang saya amat perlukan di dalam pasukan ini, kerana mampu bertindak sebagai perancang dan membuka serangan.

‘‘Skuad ini sudah ramai pemain muda seperti Izzaq Faris Ramlan dan Faizal Abu Bakar. Oleh itu, kehadiran Amri amat diperlukan bagi mengimbangi skuad ini. Harus diingat, semua negara pada kejohanan ini kebanyakannya menampilkan pemain senior. Jadi amat penting kita membawa masuk pemain seperti Amri.

‘‘Sasaran ke separuh akhir tidak mustahil jika kita berjaya menampilkan aksi yang baik ketika bertemu Indonesia dan Thailand,’’ katanya.

Sumber - Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tak gentar Indonesia guna import


SEPANG - Biarpun kelibat penyerang berbahaya Indonesia, Boas Salossa telah digugurkan oleh jurulatih, Alfred Riedl atas masalah disiplin, skuad Garuda masih mempunyai rahsia sulit untuk berhadapan Malaysia, esok.

Pemain yang dimaksudkan ialah Cristian Gonzales, penyerang berasal dari Uruguay yang baru sahaja diserapkan ke dalam skuad kebangsaan Indonesia, selepas mendapat taraf kerakyatan pada 1 November lalu.

Pemain yang beraksi tujuh tahun dalam Liga Indonesia dan kini bersama kelab Persib Bandung, Gonzales jelas mampu memberikan ancaman tambahan kepada pertahanan Malaysia, selain kehadiran penyerang veteran, Bambang Pamungkas.

Namun, jurulatih K. Rajagobal tidak gusar dengan kehadiran penyerang setinggi 1.7 meter itu, yang menjaringkan 32 gol musim lalu.

''Adakah perlu saya berasa takut kepada pasukan Indonesia hanya kerana dia seorang? Saya rasa tidak perlu, kerana permainan bola sepak bergantung kepada kemampuan 11 pemain, bukannya terletak pada seorang pemain sahaja.

''Mereka juga ada kelemahan yang mungkin kita boleh dieksploitasi. Apa paling penting kita kena yakin dengan kemampuan sendiri.

''Apa yang saya mahu fikirkan adalah mengenai strategi pasukan ini daripada terlalu memikirkan bagaimana aksi Gonzales, '' katanya.

Rajagobal berkata, pertahanannnya tidak akan memberikan tumpuan khusus kepada Gonzales, sebaliknya menyifatkan semua pemain Indonesia mampu memberi ancaman.

''Para pemain saya sudah bersedia menangkis serangan bukan daripada Gonzales sahaja, tetapi semua pemain mereka yang mara ke kubu kami.

''Kami akan beraksi seperti biasa dan tidak mahu berasa tertekan kerana tekanan sebenarnya lebih terbeban kepada tuan rumah dalam memenuhi harapan penyokong mereka,'' jelasnya

Sumber - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...