Friday, November 19, 2010

Wira Kelantan terima ganjaran


SKUAD bola sepak Kelantan menerima berita gembira semalam.

Ganjaran berjumlah RM1 juta bakal menanti barisan pemain skuad The Red Warriors itu selepas kejayaan mereka menjulang Piala Malaysia musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tersebut merangkumi bonus serta pakej insentif kenaikan gaji yang akan mula diagihkan dalam tempoh terdekat.

“Bonus tersebut merangkumi tiga pakej iaitu ganjaran yang telah dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini dan saya yakin jumlahnya akan melebihi RM300,000.

“Ini kerana ketika kita menjadi naib juara Piala Malaysia tahun lalu, jumlah keseluruhan yang diterima adalah sebanyak itu. Ini akan diberikan kepada semua pemain dalam skuad Kelantan.

“Keduanya, bonus berjumlah RM451,000 yang akan diberikan kepada pemain-pemain Kelantan yang menyambung kontrak dan akan terus beraksi bersama Kelantan pada musim depan yang akan diberikan dalam bentuk kenaikan gaji,” kata Anuar di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, sejumlah RM250,000 lagi akan diberikan kepada para pemain yang melengkapkan dokumen kontrak penyambungan perkhidmatan untuk aksi musim depan bersama Kelantan.

Jelasnya, melalui tiga pakej pembayaran itu, para pemain yang meninggalkan Kelantan musim depan hanya layak menerima pakej pertama sahaja berbanding mereka yang kekal bakal menerima kesemua pakej yang dinyatakan.

Mengulas mengenai kelewatan pengumuman ganjaran tersebut Annuar berkata: “Kita sengaja tidak menumpukan ataupun mengutamakan soal isytihar bonus kerana falsafah kita sejak awal lagi tidak menjanjikan apa-apa atau tidak menjadikan soal bonus penentu prestasi pasukan.

“Ini adalah kaedah mendisiplinkan para pemain supaya mereka harus bermain sebagai profesional, harus bermain dalam apa juga keadaan dengan penuh semangat bukan kerana wang atau ganjaran,” ujarnya

Dalam pada itu, Annuar berkata, bagi saingan musim depan, Kelantan menggugurkan tiga pemain iaitu penjaga gol veteran, Mohd. Halim Napi, Che Hishamudin Hassan (penyerang) dan Sarudy Aziz (pertahanan).
Menurut beliau, ketiga-tiga mereka akan diberikan tawaran mengikuti program kejurulatihan.

“Kekosongan tersebut akan diisi dengan kemasukan bekas pemain Johor FC, Nurul Azwan Roya, bek kiri KL Plus, Muhammad Abdul Aziz Ismail dan bekas pemain Perlis, K. Soley yang akan memantapkan lagi pasukan.

“Dua lagi pemain penyerang, Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula diberi pilihan sama ada terus bersama Kelantan pada musim depan atau berpindah ke pasukan baru,” ujarnya.

Annuar berkata, KAFA juga masih dalam pertimbangan untuk melepaskan Syed Adney Syed Husin ke pasukan lain dengan status sebagai pemain pinjaman atau penjaga gol itu perlu menebus kontraknya.

“Kontrak ketua jurulatih B. Sathianathan juga akan disambung lagi dan KAFA juga kini sedang mendapatkan khidmat seorang jurulatih kecergasan dan fisioterapi sepenuh masa untuk keperluan pasukan,” jelasnya.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...