Sunday, November 14, 2010

Malaysia 0-3 China PR

Malaysia tumbang angkara pengadil



MALAYSIA tewas 0-3 kepada China pada perlawanan penuh kontroversi dalam saingan Kumpulan A temasya Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe, Guangzhou malam tadi.

Ini kerana pengadil dari Australia, Ben Williams telah melayangkan tiga kad merah kepada Mahali Jasuli, Safiq Rahim dan S. Kunanlan.

Selain itu, lima pemain lain iaitu Fadhli Shas, Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan, Asraruddin Putra Omar dan Muslim Ahmad turut dilayangkan kad kuning berbanding pemain China yang langsung tidak diberi sebarang kad.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal jelas begitu berang dengan keputusan 'berat sebelah' pengadil yang sama sekali telah meranapkan hasrat Malaysia sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan China.

"Ini pertama kali dalam sejarah saya melihat pengadil seteruk ini. Ini juga pertama kali saya bertindak untuk memberi komen terhadap pengadil.

"Saya cukup kecewa. Jika satu kad merah tidak mengapa. Ini kami terpaksa main sembilan pemain sepanjang 55 minit dan lapan pemain pada 10 minit terakhir," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Pada minit ke-24, Mahali dilayangkan kad merah setelah didakwa sengaja menyepak bola ke luar padang manakala Safiq turut menerima nasib sama kerana dikatakan cuba membantah keputusan pengadil.

Kunanlan pula menerima kad kuning pertama pada minit ke-79 dan kad kuning kedua seterusnya kad merah seminit kemudian kerana memberikan sepakan penalti.

"Semua pemain telah berkerja keras biarpun terpaksa lawan 11 pemain. Cuma sukar untuk terus bertahan pada baki 45 minit dengan kekurangan pemain," jelasnya.

Gol pertama China dijaringkan Li Jianbin menerusi tandukan selepas sepakan percuma pada minit ke-61 diikuti gol kedua hasil sepakan percuma Zhao Honglue pada minit ke-64 sebelum Zhang Linpeng menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-82.

Sementara itu, Safiq yang merupakan ketua pasukan negara memberitahu: "Saya hanya tanya pengadil kenapa Mahali dilayangkan kad merah. Kemudian saya diberi kad kuning.

"Apabila saya tanya pula kenapa saya kena kad kuning, pengadil terus keluarkan pula kad merah," katanya.
Malaysia bagaimanapun tetap berjaya layak ke pusingan kedua selaku empat pasukan tempat ketiga terbaik dan akan bertemu juara Kumpulan B, Iran petang esok.

Sumber - Kosmo

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Malaysia tempang ke pusingan kedua


GUANGZHOU - Malaysia layak ke pusingan kedua acara bola sepak Sukan Asia walaupun tewas 0-3 kepada China pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Bola Sepak Tianhe, di sini semalam.

Namun, kejayaan bersejarah sejak 32 tahun itu dicemari dengan keputusan pengadil yang melayangkan tiga kad merah kepada pemain negara Mahalli Jasuli, Safiq Rahim dan S. Kunanlan.

Ini pastinya menambahkan lagi tempang skuad K. Rajagobal yang ke Guangzhou tanpa beberapa tonggak utama apabila menentang Iran, esok pada pukul 4 petang.

Walaupun menduduki tempat ketiga di belakang Jepun dan China dalam Kumpulan A, Malaysia layak ke pusingan kedua kerana tiga mata yang diperoleh hasil kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan pada Selasa lepas, membolehkan Malaysia berada di kedudukan terbaik berbanding negara di tempat ketiga dalam kumpulan lain. Kali terakhir skuad negara layak beraksi di pusingan kedua acara bola sepak Sukan Asia ialah pada tahun 1978 di Bangkok.

Di Doha, Qatar empat tahun lepas, skuad kebangsaan di bawah bimbingan Norizan Bakar sekadar bermain di peringkat kumpulan.

Pada perlawanan semalam, skuad negara terpaksa bermain dengan lapan pemain 'angkara' pengadil dari Australia, Williams.

Walaupun terpaksa bermain dengan lapan pemain, skuad negara yang dibelenggu kecederaan, berjaya menyerap asakan pasukan China daripada membolosi gawang Malaysia dengan jaringan lebih besar. - MINGGUAN

Sumber -Utusan Malaysia

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mutu pengadilan teruk punca Malaysia tewas

HASRAT pasukan bola sepak negara melangkah ke pusingan kedua terbantut seketika apabila tewas 3-0 kepada pasukan tuan rumah, China dalam perlawanan berat sebelah di Stadium Tianhe, Guangzhou, semalam.

Setelah kehilangan Mahali Jasuli dan Safiq Rahim yang menerima kad merah pada babak pertama, barisan K Rajagobal masih mampu bertahan sehingga China menjaringkan gol menerusi Jianbin Li pada minit ke-62, Honglue Zhao (65) dan sepakan penalti Linpeng Zhang (83).

Pemain negara juga jelas tidak dapat mengimbangi perlawanan dengan sempurna apabila seolah-olah beraksi menentang ’12 pemain China’ termasuk mutu penga�dilan yang pasti menjadi perbincangan ramai pihak.

Mutu pengadilan seharusnya boleh dipertikaikan apabila pengadil perlawanan, Ben Williams dari Australia dengan mudah melayangkan kad kuning kepada pemain negara sedangkan insiden yang membabitkan pemain China tidak pula dilayangkan sebarang kad amaran.

Malah, nasib Malaysia seperti sudah jatuh di timpa tangga apabila S Chanturu diperintah keluar padang akibat mengutip kad kuning kedua pada lewat permainan dan kini mengharapkan pasukan Palestin dan Jordan tewas pada aksi terakhir kumpulan untuk mencuri peluang mara ke pusingan seterusnya.

Sumber - Sinar Harian

------------------------------------------------------------------------------------------------

3 kad merah 3 kali bolos


MALAYSIA melangkah ke pusingan kedua bola sepak Sukan Asia Guangzhou 2010 sekalipun tewas kepada China 0-3 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A di Stadium Tianhe, semalam yang penuh dramatik dengan tiga pemain negara dilayangkan kad merah.

Malaysia menepati sasaran - menamatkan penantian 32 tahun untuk ke pusingan kedua - selepas menjadi salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik, daripada enam kumpulan dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan, mengatasi Palestin dan Maldives yang memungut satu dan dua mata dalam kumpulan masing-masing.

Namun, permainan yang dijangka menarik pada awalnya, memihak kepada China pada minit ke-25 apabila tiga kad merah dilayangkan pengadil Ben Williams dari Australia kepada Mahalli Jasuli dan kapten, Safiq Rahim serta K Kunalan pada minit ke-80.

Situasi itu memaksa jurulatih K Rajagobal yang sudah pun kehilangan beberapa tonggak, tidak punya pilihan selain membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan K Gurusamy bagi menggantikan Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Faizal Muhamad untuk Amar Rohidan pada babak pertama dan Izzaq Faris Ramlan dengan Norshahrul Idlan Talaha di babak kedua.

Saya kecewa dengan pengadilan. Dengan 10 pemain pun saya yakin kami mampu mengikat mereka tetapi tanpa dua pemain termasuk Safiq, dan kemudian Kunalan, tiada apa yang pemain mampu lakukan.

Namun saya puji sikap pemain muda kita yang tetap melawan. Bagi saya, pengadil merosakkan segala-galanya, kata Rajagobal yang mengakui tidak mengetahui Malaysia sudah layak ke pusingan kedua sebelum permainan itu bermula tetapi perlu memikir strategi terbaik untuk menghadapi juara Kumpulan B, Iran, di pusingan kedua, esok.

Dalam perlawanan di depan 25,000 penonton itu, China menguasai sepenuhnya permainan untuk mengembalikan sokongan peminatnya selepas kalah kepada Jepun tempoh hari, dengan mengasak seawal minit kedua apabila penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa melayangkan badan untuk menafikan cubaan pertama tuan rumah.

Dengan corak permainan bertahan, China mengasak bertubi-tubi tetapi Khairul Fahmi sekali lagi menafikan tandukan Zhang Yuan pada minit ke-16 dengan peluang terbaik negara diperoleh daripada hantaran silang S Chanturu tetapi tiada rakan yang menyambar hinggalah insiden dua kad merah yang merencatkan terus permainan.

Namun pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras terutama Khairul Fahmi yang banyak menyelamatkan cubaan bahaya tuan rumah sebelum tertewas dengan tandukan Li Jianbin pada minit ke-62, sepakan percuma Zhao Hongiue (m65) dan penalti Zhang Linpeng (m81).

Sumber - Berita Harian

1 comment:

  1. pengadil memang x guna...tp kita kena sokong pasukan kita..lagipun dah ada peningkatan..syabas...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...