Wednesday, November 24, 2010

Rajagobal kian buntu

BELUMPUN sempat kebah daripada ‘demam’ yang dialami di Sukan Asia Guangzhou, ketua jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal pening lagi apabila semakin ramai anak buahnya yang dikhuatiri tidak dapat diturunkan pada aksi pertama Piala AFF Suzuki menentang Indonesia, 1 Disember ini.

Mohd Nasriq Baharom, S Chanturu, Norhafiz Zamani Misbah, Mat Sabre Abu, Ahmad Fakri Saarani dan Azmi Muslim - semuanya hanya mampu memerhatikan rakan sepasukan yang lain berlatih di padang Wisma FAM petang semalam sedangkan mereka duduk di bangku di tepi padang - tersisih akibat kecederaan yang dialami di Sukan Asia.

Justeru, siapa lagi yang mampu diharapkan Rajagobal pada saingan Piala AFF Suzuki yang bakal menyingkap tirainya 1 Disember ini? Itulah masalah yang membuatkan beliau tidak mampu tidur lena kerana ramai yang menaruh harapan supaya anak buahnya mampu menjulang gelaran kejohanan berkenaan buat pertama kali.

Selepas memenangi emas Sukan Sea Laos hujung tahun lalu serta diselangi dengan aksi meyakinkan ketika saingan Sukan Asia baru-baru ini, ramai yang beranggapan barisan 2010 yang ditubuhkan Rajagobal berkeupayaan untuk membolehkan Malaysia merangkul gelaran pertama Piala AFF Suzuki yang diperkenalkan sejak 1996 itu.

Untuk rekod, Malaysia hanya berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki (dulunya dikenali sebagai Piala Tiger) pada edisi pertamanya iaitu 1996 dan ditewaskan Thailand 1-0. Untuk edisi selepasnya, Malaysia tidak lagi mampu untuk melangkah ke perlawanan akhir dan ada juga edisi yang menyaksikan skuad kebangsaan tersingkir di peringkat kumpulan.

“Ini kejohanan untuk pasukan senior. Lihat saja keupayaan Thailand dan Indonesia (musuh Malaysia di dalam Kumpulan A). Mereka mempunyai skuad senior yang bagus. Bukan saya mahu merendahkan keupayaan anak buah saya tetapi anda lihat sendiri apa yang sudah berlaku kepada mereka sekarang? “Saya menyenaraikan 30 pemain untuk ke Piala AFF Suzuki. Tempoh akhir senarai pemain itu tutup sebelum Sukan Asia lagi. Justeru, saya hanya boleh menggunakan pemain yang ada dalam senarai berkenaan. Adalah mustahil untuk saya mengemukakan senarai baru. Sekarang, dicampur dengan masalah kecederaan sebelum dan selepas Sukan Asia, berapa lagi yang saya ada? “Baki pemain skuad utama yang masih boleh diturunkan setakat ini hanya membabitkan empat atau lima pemain saja. Saya terpaksa menyediakan sebuah pasukan yang mantap dalam tempoh beberapa hari ini. Memang ia satu tugas yang sangat-sangat sukar untuk saya. Saya tidak berani untuk meletakkan harapan yang tinggi dan apa yang boleh saya katakan ialah, kami akan cuba melakukan yang terbaik dengan apa yang ada,” kata Rajagobal.

Baki pemain yang dimaksudkan Rajagobal ialah Safiq Rahim, S Kunanlan, Amar Rohidan, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha dan untuk melengkapkan ‘skuad impian’ ke Piala AFF Suzuki, beliau terpaksa mempertaruhkan pemain-pemain Harimau Muda serta pemain dikesan bakatnya di dalam saingan Liga Malaysia.

Malaysia diletakkan di dalam kumpulan maut bersama-sama tuan rumah, Indonesia, Thailand dan Laos. Anak buah Rajagobal akan memulakan saingan dengan bertemu Indonesia pada 1 Disember sebelum melayan Thailand, tiga hari kemudian. Kedua-dua perlawanan itu akan dilangsungkan di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Indonesia.

Perlawanan terakhir Malaysia di peringkat kumpulan ialah dengan menentang Laos di Stadium Jaka Baring, Palembang selepas venue asal, Stadium Jalak Harupat di Bandung tidak dapat digunakan kerana masih menjalani proses pengubahsuaian.

Sumber - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...