Friday, November 12, 2010

Piala Emas Raja-Raja (Berita)

Seladang perlu pamer aksi mantap hadapi Penyu


PERSEMBAHAN mantap ketika muncul juara Kumpulan C dituntut daripada pemain Perak apabila turun melayani Terenggau dalam suku akhir pertama di Ipoh, malam ini.

Bagi Pengurus Perak, Isham Shahruddin hanya komitmen sama menjamin kejayaan pasukan.

Justeru, Isham berharap pemain menumpukan sepenuh perhatian bagi memastikan impian melakarkan kejayaan tercapai.

“Saya harap tumpuan pemain berpusat pada perlawanan malam ini. Janga biarkan elemen asing menjejas tumpuan,” katanya.

Isham berkata, pemain bersemangat tinggi selepas berjaya mengharungi kempen pusingan awal tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

“Jika beraksi dengan keyakinan sama tiada sebab mengapa Perak tidak boleh berjaya,” katanya.

Sehubungan itu Isham merayu penyokong Perak hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada pasukan.

“Pemain memerlukan sokongan penonton bagi menyemarakkan lagi semangat mereka. saya harap rakyat Perak memainkan peranan,” katanya.

Pada masa sama, pengurus Perak itu mengingatkan anak buahnya tidak memandang rendah kemampuan lawan yang pasti hadir dengan hasrat membawa pulang kejayaan.

“Terengganu bukan calang-calang pasukan. Mereka membuktikan kemampuan dengan mara ke suku akhir,” katanya.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perlis tak mahu jadi mangsa


JUARA bertahan, Perlis bersedia berdepan Kelantan pada suku akhir pertama Piala Emas Raja-Raja 2010 di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

Skuad muda Singa Utara kendalian bekas tonggak pertahanan, Suhairi Abdul Karim itu berazam memastikan tidak menjadi mangsa kepada skuad tuan rumah itu sebagai bekalan untuk pertemuan ulangan di Kangar, 26 November ini.

Pengurus Piala Emas Raja-Raja Perlis, Prof Madya Mazelan Abdul Hamid berkata, pertemuan kedua-dua pasukan yang pernah dinobat juara Piala Agong, musim 2010 dan 2009 itu dijangka sengit.

Katanya, Kelantan yang turun berbekalkan kelebihan selaku tuan rumah dan memiliki ribuan penyokong fanatik bukan lawan mudah.

“Saya mahu semua pemain memberikan fokus sepenuhnya dan berusaha mempertahankan status selaku juara bertahan.

“Paling penting, memperoleh bekalan untuk dibawa pulang bagi pertemuan ulangan,” katanya.

Perlis melangkah ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A, di belakang Pahang yang menjuarai kumpulan itu manakala Kelantan adalah juara Kumpulan B.

Mengulas lanjut, Mazelan berkata, skuad diketuai bekas pertahanan Perlis, Andrien Jurad Chamrong bersedia mental dan fizikal.

Selain itu, katanya, pasukan berkenaan dijangka mengekalkan senarai pemain yang beraksi cemerlang ketika menewaskan Negeri Sembilan, 5-1 dan Kuala Lumpur, 7-1 di peringkat kumpulan.

“Selain itu semua pemain utama bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan,” katanya lagi.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perak intai kemenangan


PERAK mahu mencari kemenangan selesa bagi menikmati kelebihan ke atas Terengganu pada suku akhir pertama Piala Emas Raja Raja di Stadium Perak, malam esok.

Justeru jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim menuntut aksi bertenaga anak didiknya bagi memastikan impian itu tercapai ketika supaya Seladang berkelebihan apabila kedua-dua pasukan bertemu semula di Kuala Terengganu 20 November ini.

“Kami tiada pilihan melainkan menghasilkan kemenangan dengan jurang selesa jika ingin mara ke pusingan seterusnya.

“Pemain perlu menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri kerana saya menjangkakan laluan sukar pada perlawanan ulangan,” katanya.

Abu Bakar yang pertama kali diberi tugas selaku ketua jurulatih pasukan negeri teruja dengan kejayaan anak buahnya mara ke suku akhir.


Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pertemuan Kelantan, Perlis dijangka sengit


PERTEMUAN suku akhir pertama Piala Emas Raja-Raja 2010 antara Kelantan dan Perlis di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kota Bharu, esok, dijangka berlangsung sengit dan paling mencabar.

Perlis yang hadir selaku pelawat bukan saja perlu berdepan lawan yang turun berbekalkan kelebihan selaku tuan rumah malah penyokongnya yang diakui memang cukup fanatik.

Demikian pandangan ikhlas Pengurus Pasukan Piala Emas Raja-Raja Perlis, Prof Madya Mazelan Abdul Hamid yang mengulas pertemuan skuad kendalian bekas tonggak pertahanan, Suhairi Abdul Karim dengan skuad Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Justeru, katanya, pemain yang diturunkan menggalas cabaran Perlis pada pertemuan itu perlu melakukan yang terbaik agar tidak menjadi mangsa kepada lawan yang juga juara bersama Piala Agong musim lalu.

“Menyedari hakikat itu, saya mahu setiap pemain bersedia bukan saja dari segi fizikal malah mental untuk berdepan lawan yang pasti turun dengan semangat berganda untuk mencatat kejayaan di hadapan penyokong sendiri.

“Paling penting, semua pemain perlu mencuri peluang membawa pulang bekalan dan tidak pulang tangan kosong atau setidak-tidaknya menyekat lawan daripada mencatat kemenangan,” katanya.

Perlawanan ulangan kedua-dua pasukan itu di Stadium Utama Negeri Kangar ditunda 26 November berikutan Hari Raya Aidiladha.

Perlis yang juga juara bertahan Piala Emas Raja-Raja layak ke saingan suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A di belakang Pahang yang menjuarai kumpulan.

Sumber - Harian Metro

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kelantan sedia hadapi suku akhir Piala Emas


KUALA LUMPUR - Jika rekod lepas dan konsisten sepanjang 10 tahun lepas menjadi ukuran, Kelantan tampak sedia melepasi cabaran suku akhir dan melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan bola sepak Piala Emas Raja-Raja Ke-70.

Hasrat menggapai kejuaraan kali ke-13 nyata cerah buat Kelantan, ekoran prestasi mantap yang dipamerkan pada pusingan awal, yang menyaksikan skuad itu mengutip 9 mata penuh daripada tiga perlawanan.

Seharusnya, ia sudah cukup memberikan kelegaan dan meningkatkan tahap keyakinan pengendali Zahasmi Ismail dan anak-anak buahnya untuk menutup tirai 2010, dengan pencapaian bersejarah menjulang kejuaraan buat kali ke-13.

Rekod sepanjang 10 edisi lepas yang menyaksikan skuad Melayu Kelantan mara ke perlawanan akhir sebanyak 7 kali dan berjaya menjulang kejuaraan sebanyak 5 kali selain 2 kali muncul naib johan sepanjang tempoh itu.

Melayu Kelantan pastinya menanam tekad untuk mengikuti jejak langkah skuad elit negeri yang berjaya mencatat kejayaan manis membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.

Tersingkir seawal suku akhir musim lepas memberikan kejutan buat pasukan berstatus gergasi Piala Emas Raja-Raja, lantas menyebabkan Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan mahukan pasukan pada tahun ini lebih mantap tahun ini.

Harapan Melayu Kelantan sekali lagi, terletak di bahu pemain berpengalaman, seperti penjaga gol Mohd Shahrizan Ismail, pemain pertahanan, Sarudi Aziz dan Che Hishamudin Hasan dari skuad Liga Super Kelantan, serta pemain Liga Super Terengganu, Tengku Hazman Raja Hasan selain Hardi Ahmad.

Kelibat peledak gol skuad Melayu Kelantan seperti Rosairil Asrul, Mohd, Khairul Izuan Rosli, Ramzul Zahini dan Ezrie Shaizie, pasti sekali lagi ditagih.

Selain Kelantan, MASUM, yang rata-rata dianggotai oleh pemain skuad UiTM, pula berharap dapat mencatat kejutan, membuka mata ramai pihak, seperti mana yang dilakukan pada pusingan awal apabila muncul juara Kumpulan D, mengatasi Terengganu, PDRM dan Singapura.

Begitu pun, lawan MASUM di suku akhir iaitu finalis tahun lepas Kedah, bukan calang-calang lawan. Rekod Kedah, yang lima kali menjuarai kejohanan selain memilik barisan yang mantap seharusnya menggusarkan MASUM.

Jurulatih Omar Ali yakin dengan prestasi semasa anak buahnya, terutama dengan corak permainan dua ayam tambatannya, Fahrul Razi Kamaruddin dan Nur Salam Zainal Abidin yang garang meledak gawang lawan.

"Skuad saya bagaimana pun akan ke Korea untuk perlawanan di sana dan hanya kembali pada 24 November ini untuk menghadapi suku akhir pusingan kedua. Jadi suku akhir pertama perlu dipergunakan sebaik mungkin untuk mendapat kelebihan,"kata beliau.

Dalam satu lagi perlawanan, Perak bertemu Terengganu manakala Pahang melonjak tepat pada masanya, untuk melangkah ke suku akhir bertemu Johor.

Dalam pada itu, jadual suku akhir pusingan kedua, yang dijadualkan pada 20 November ini, diubah ke 26 November.

Menurut setiausaha kehormat PBSMM, Abdul Wahab Ismail, tarikh lama terpaksa diubah, ekoran penglibatan pasukan MASUM dalam siri perlawanan dengan pasukan Universiti Sukan Korea di Seoul.
 
"Pasukan MASUM hanya akan kembali ke tanahair pada 24 November, jadi perlawanan suku akhir kedua pada yang pada asalnya dijadualkan pada 20 November itu, terpaksa ditunda ke 26 Nov," katanya.

MASUM layak ke suku akhir dan akan bertemu finalis tahun lepas, Kedah dalam saingan lapan pasukan itu. 

Sumber - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...